Banduan ambil PhD sudah dapat tawaran kerja

Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik tirai besi yang menjadi ‘kediaman’ mereka yang didapati bersalah di mahkamah atas pelbagai pelanggaran undang-undang, ada yang bakal menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi.

Berpegang pada peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, Zubir (bukan nama sebenar), 37, membuktikan tidak ada yang mustahil untuk dicapai oleh banduan sepertinya, yang mempunyai iltizam untuk berjaya sekalipun terpisah dari dunia luar.

Zubir didapati bersalah membunuh majikannya di sebuah rumah di Selangor ketika berusia 14 tahun dan dikategorikan sebagai tahanan limpah iaitu mereka yang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati namun terlepas kerana kesalahan dilakukan semasa berusia bawah 18 tahun.

Mereka dikategorikan tahanan limpah kerana pengampunan atau peringanan hukuman Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang Dipertua Negeri – bergantung di negeri mana kesalahan dilakukan – dipenjarakan tanpa tarikh bebas.

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, anak kelahiran Sabah ini berkata, dia tidak pernah bermimpi dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi akademik, apatah lagi ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah.

Bagaimanapun menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia menanam impian untuk bergelar doktor falsafah selepas berjaya memiliki ijazah sarjana lebih lima tahun lalu.

“Sekarang saya sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan di Open University Malaysia (OUM). Belum tamat pengajian tetapi sudah ada tawaran jadi pensyarah yang menanti,” katanya yang ditemui.

Menyifatkan apa yang dikecapi hari ini adalah hasil sokongan dan bantuan keluarga, pegawai penjara serta penghuni tirai besi yang lain, Zubir berkata dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 20 tahun selepas peluang itu dibuka oleh pihak penjara bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran.

Dia kemudian menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Menurut lelaki itu lagi, pelbagai ranjau ditempuhinya dalam memburu ilmu terutama dari segi moral apabila ada yang memperlekeh usaha serta cuba menjatuhkan semangatnya.

“Kata mereka, ilmu yang saya dapat ini tidak boleh buat apa-apapun di sini (tidak berguna di penjara). Tetapi saya menolak tanggapan tersebut kerana ini bukan sekadar ilmu untuk diri sendiri, tetapi saya mahu menyumbang kembali kepada orang lain ketika di dalam penjara dengan mengajar mereka.

“Ilmu itu penting, dan kerana dengan adanya ilmu saya mampu mengubah corak pemikiran dan persepsi saya terhadap sesuatu perkara.

“Dari perspektif yang lebih luas, saya boleh membantu banduan lain yang ingin menyambung pelajaran dan bertekad menyumbang lebih lagi, terutama kepada masyarakat, sekiranya saya dibebaskan kelak,” katanya, menambah, dia tidak dapat meneruskan pengajian lebih awal disebabkan oleh masalah kewangan keluarga.

Bercerita lanjut, disebabkan oleh kedudukannya sebagai banduan selain pelbagai syarat ketat yang ditetapkan oleh kebanyakan universiti, dia hampir berputus asa untuk menyambung pengajian selepas tamat STPM.

“Pihak penjara berusaha mencari universiti yang sesuai dari segi syarat yang boleh dipatuhi dan mudah akses. Dalam banyak-banyak universiti, OUM menawarkan kursus-kursus yang berkaitan.

“Ketika di peringkat sarjana muda, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan mualaf menaja pengajian saya. Selepas itu, ada seorang individu yang bermurah hati menaja pengajian ijazah sarjana saya dan untuk peringkat PhD pula, OUM menaja 90 peratus yuran pengajian dan selebihnya saya perlu cari sendiri.

“Saya amat berterima kasih kepada OUM kerana memberikan peluang ini yang merupakan satu penghargaan buat kami (banduan) dalam mencari sinar baharu kehidupan selepas keluar dari penjara nanti,” katanya.

Sementara itu, hasrat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan selain impian memiliki syarikat sendiri menjadi pendorong kuat Vikram (bukan nama sebenar) untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD.

“Itu tujuan sebenar saya memilih menyambung pengajian hingga peringkat sarjana dalam pentadbiran perniagaan di OUM. Saya mahu ubah stigma bekas banduan yang sering dipandang negatif oleh masyarakat, selain membuktikan kepada orang di luar sana bahawa kami juga dapat belajar hingga ke peringkat tinggi.

“Ijazah yang diterima juga akan dijadikan batu loncatan untuk saya menubuhkan syarikat sendiri apabila keluar kelak,” kata lelaki berusia 30-an itu yang berhasrat menawarkan perkhidmatan membantu orang ramai memulakan perniagaan sendiri.

“Saya harap dapat menyambung pengajian dalam bidang sama di peringkat PhD sebelum hukuman saya di penjara ini tamat,” katanya yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kesalahan menculik.

Dia yang bertekad memulakan hidup baharu selepas dibebaskan kelak juga berazam membalas jasa keluarga yang banyak menyokongnya termasuk menanggung kos pengajian.

Sementara itu, mengulas tentang banduan yang mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi, Pengarah Penjara Kajang Mohd Roslen Ramli berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada golongan berkenaan untuk berbuat demikian, demi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat hukuman.

“Di Penjara Kajang sendiri terdapat lebih 10 orang banduan sedang menyambung pengajian, merangkumi peringkat diploma hingga PhD, iaitu satu perkara yang positif agar mereka dapat merancang kehidupan pada masa depan.

“Mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik selain menjadikan diri mereka lebih bersifat terbuka, sekali gus menjauhi gejala negatif yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata, universiti tersebut menawarkan peluang kepada banduan di Penjara Kajang menyambung pengajian sejak 2008.

Katanya OUM juga sedang bekerjasama dengan dua universiti kampus cawangan di Pahang dan Sabah untuk tujuan sama.

Menurut beliau, ini seiring dengan moto OUM, iaitu ‘Universiti Digital untuk Semua’ yang bermaksud “tidak kira apa latar belakang pelajar, di mana mereka berada, apakah pekerjaan mereka, asalkan ingin menuntut ilmu dan mahu berjaya, pihak universiti akan menerima mereka sebagai pelajar termasuklah penghuni penjara”.

“Pada masa ini, kelayakan akademik amatlah penting dalam menentukan kerjaya masing-masing. Berbekalkan kelayakan akademik, peluang para banduan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik akan menjadi lebih cerah apabila mereka selesai menjalani hukuman,” katanya.

Bagaimanapun kata Ahmad Izanee, ada syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara sebelum membenarkan banduan menyambung pengajian.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sayang abang haji Zul

Senaman terbaik untuk hubungan seks

Iqbal dedah sebab utama jumpa Inspektor Sheila

Pekerja kilang diarah tanggal pakaian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker