Hanya buang masa, Ambiga kecewa dengan kerajaan
Pernah teruja bahawa perubahan akan dilaksanakan, bekas pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan mengimbas kembali usaha dilakukan dalam Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) pada 2018 untuk kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu ternyata hanya “membazirkan masa”.
Ambiga berkata walaupun beberapa syor telah dilaksanakan, tiada tindakan diambil terhadap kebanyakan saranan seperti melaksanakan reformasi di penjara.
“Anda ingat kita semua menghabiskan masa tiga hingga empat bulan dengan rasa yang teruja bahawa kerajaan PH pada 2018 akan membawa pembaharuan.
“Jadi kami berhempas pulas siang dan malam dan sekarang saya tidak tahu mengapa saya membuang masa, bersama beberapa individu terkemuka lain untuk menghasilkan laporan reformasi institusi.
“Beberapa tindakan telah diambil tetapi banyak yang tidak dilakukan. Apa yang sukar sangat mengenai reformasi penjara, tentang orang yang hidup dengan manusiawi?” soal Ambiga.
Dia berkata demikian pada forum bertajuk “Persimpangan Kedaulatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia di Malaysia” pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia yang diadakan di Hotel Shangri-la di Kuala Lumpur hari ini.
IRC ditubuhkan pada 2018 di bawah kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun kerajaan Mahathir tumbang selepas hanya 22 bulan berkuasa. IRC dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan laporan yang menyentuh bidang-bidang seperti anti-rasuah.
Ahli IRC yang lain ialah hakim Mahkamah Rayuan, KC Vohrah dan Mah Weng Kwai yang telah bersara, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan ketika itu, Mohamed Arshad Raji dan pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi.
Sementara itu, Ambiga turut bercakap mengenai layanan terhadap pelarian dan individu tanpa kerakyatan di Malaysia, dengan mengatakan pemimpin di negara ini tidak mempunyai “secebis sifat kemanusiaan” apabila melibatkan masyarakat terpinggir ini.
Komuniti ini, katanya, juga berhak memiliki maruah sebagai manusia kerana hak asasi manusia adalah bersifat universal.
“Itulah intipati hak asasi manusia, ia adalah sama untuk semua orang. Anda dilahirkan dengan hak tersebut.
“Ia bukan untuk orang lain memberikannya kepada anda, anda memilikinya kerana menjadi manusia,” tambahnya.
‘Di Malaysia tiada negarawan, hanya ada ahli politik’
Ambiga menegaskan bahawa ahli politik di Malaysia sering terlupa bahawa hak asasi manusia juga terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya apabila ada di antara mereka yang mendakwa hak tersebut adalah acuan Barat.
Dia mempersoalkan bahawa jika hak asasi manusia tidak sesuai untuk Malaysia, maka mengapa negara berusaha keras untuk mendapatkan kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kita berada di sana sekarang untuk kali ketiga (tetapi) mengapa kita berada di sana jika kita tidak memahami hak asasi manusia?” soalnya.
Sebaliknya, Ambiga memuji hasil kerja Suhakam dalam menghasilkan laporan terperinci mengenai keadaan hak asasi manusia di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
Tetapi sebaik saja laporan itu sampai ke Parlimen, katanya, tiada apa yang dilakukan mengenainya, sama seperti laporan Ketua Audit Negara dan dokumen lain yang serupa.
“Anda tahu mengapa mereka (ahli politik) tidak peduli? Mereka lebih berminat dengan pilihan raya akan datang,” katanya.
Ambiga berkata tidak seperti ahli politik yang hanya mementingkan pilihan raya, pemimpin negara yang mengutamakan generasi akan datang tidak ada di Malaysia pada ketika ini.
“Sebab itu mereka menggunakan agama. Adakah anda fikir mereka benar-benar percaya separuh daripada apa yang mereka perkatakan? Mereka menggunakannya kerana itu adalah cara terbaik untuk memecahbelahkan kita semua,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pengundi kini lebih berpendidikan dan justeru dia berharap mereka akan membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang.
“Kita telah membuat perubahan sebelum ini, kita boleh melakukannya sekali lagi dan saya fikir kita tidak sepatutnya terpengaruh dengan politik perpecahan yang diamalkan sekarang,” tambahnya.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Dalam tangan kami 16 kerusi – Mahfuz
- Takkanlah BM Wan Saiful begitu lemah – Loke
- Hadi disiasat Bukit Aman isu 3R
- PAS seperti mengaku rasuah dalam pilihan raya – Salahuddin
- Wanita ditahan polis berkaitan kes simbah asid
- Tikam suami hingga mati ketika berbalah mengenai isteri kedua
- Bekas ADUN DAP lakukan perkahwinan sejenis, Kerajaan Perpaduan tetap tidak iktiraf LGBT
- Hutang Felda: Muhyiddin jangan ‘sembang’, samanlah Anwar jika kamu dipihak yang benar
- Gula-gula PRK: PAS tawar beri pinjaman motor tanpa faedah tetapi dengan syarat..
- Sarah Hildebrand makin berani berbikini
- Inspektor Sheila dapat gred B Tasawwur Islam
- Saya yang lupuskan hutang peneroka Felda bukan Muhyiddin, ‘I stand by this record’ – Anwar Ibrahim
- Nikita Mirzani dilabel ‘iblis’ paksa anak turun berat badan
- Syaitan suruh bunuh, kerat isteri
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.