Contohi Cina Kelantan

MASYARAKAT Cina di Kelantan agak istimewa jika dibandingkan dengan masyarakat Cina di Pantai Barat. Mereka makan berlaukkan budu dan mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu, termasuk berkain batik, serta fasih bertutur dalam loghat Kelantan.

Satu lagi keunikan Cina Kelantan adalah sekalipun nama mereka Cina, jika bunyi sebutannya mirip nama Melayu, mereka lebih selesa dipanggil dengan nama Melayu.

Sebagai contoh, sahabat baik saya bernama Chan Khian Lee yang menjalankan perniagaan televisyen litar tertutup (CCTV) di Pasir Pekan, Tumpat, meletakkan nama Ali pada kad perniagaannya kerana sejak kecil lagi dia dikenali sebagai Ali, bukannya Ah Lee.

Jika masyarakat Cina di Pantai Barat lebih senang dengan nama Inggeris seperti David Ong atau Mandy Lee, masyarakat Cina di Kelantan pula mempunyai nama panggilan Melayu walaupun bukan beragama Islam.

Mereka tidak kekok malah selesa dengan nama Melayu. Contohnya, mereka yang bernama Ah San akan dipanggil Hassan atau Hock Seng sebagai Hussin.

Seorang lagi sahabat saya bernama Lim Guan Seng yang juga Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka) Kelantan juga mempunyai nama Melayu.

Sejak di bangku sekolah lagi beliau dipanggil dengan nama Hashim oleh rakan-rakan di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai terutama mereka yang sama-sama bermain bola sepak dengannya.

Hubungan antara orang Cina dengan Melayu di Kelantan amat rapat. Antara faktor utama keakraban mereka adalah kefasihan berbahasa Melayu. Masyarakat Cina Kelantan boleh ‘kecek Kelate’ dengan lancar sekali.

Jika orang luar mendengar Cina Kelantan bertutur dalam loghat Kelantan, mereka mungkin beranggapan orang itu bukan Cina kerana percakapan mereka langsung tidak pelat.

Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, ramai juga orang Cina Kelantan yang pandai menulis Jawi. Puan Kang Tok Kiew yang lebih mesra dengan panggilan Mek, 74, dari Machang, bukan sahaja mampu membaca tulisan Jawi tetapi juga boleh menulisnya dengan lancar.

Begitu juga bagi Ketua Kaum Cina di Gunong, Bachok, Encik Tan Cheng Soon, 70, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah. Beliau juga mahir membaca dan menulis Jawi.

Tak kenal maka tak cinta. Itulah pepatah Melayu yang boleh merungkai masalah perpaduan jika terdapat pertembungan antara masyarakat Melayu dengan Cina.

Melalui penguasaan bahasa Melayu, pasti banyak prasangka, stereotaip, salah faham, kejutan budaya dan lain-lain yang negatif, daripada kaum Cina terhadap kaum Melayu dapat dikurangkan.

Kita boleh lihat bagi masyarakat Cina yang kurang fasih, apatah lagi yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, mereka kurang mesra terhadap kaum Melayu kerana halangan komunikasi.

Jelas sekali, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik menyumbang kepada penerimaan positif masyarakat Melayu terhadap Cina di Kelantan.

Jika saya berhubung dengan sahabat Cina Kelantan, kami lebih selesa menggunakan loghat Kelantan sesama sendiri.

Sememangnya ramai Cina Kelantan yang menulis dan meninggalkan komen dalam media sosial menggunakan loghat Kelantan sehingga menjadi viral baru-baru ini.

Penguasaan bahasa Melayu yang baik dan sifat toleransi yang tinggi antara ramuan perpaduan antara Melayu dengan Cina di Kelantan.

Semoga masyarakat Cina di luar dapat menguasai bahasa Melayu demi perpaduan dan keharmonian di negara kita. Contohi Cina Kelantan.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker