Selangor hadapi 9 kali pencemaran air dan 8 kali gangguan bekalan sepanjang 2020



Sebaran :

Tahun 2020 menyaksikan Selangor melalui sembilan siri pencemaran sumber air mentah dan lapan kali gangguan bekalan air yang sering kali menjejaskan sebahagian besar pengguna di negeri ini dan di Lembah Klang.

Semasa orang ramai menyinsing lengan baju untuk mengangkut air bagi kegunaan harian acap kali berlakunya gangguan bekalan, ada juga pihak yang menggunakan sungai-sungai di negeri ini dengan sewenang-wenangnya untuk melupuskan sisa buangan, termasuk sisa buangan berjadual.

Malah, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mencemarkan sumber air mentah di Selangor.



Pencemaran sumber air mentah di beberapa sungai penting di Selangor menyebabkan loji-loji rawatan air (LRA) utama iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas, rata-rata berikutan isu pencemaran minyak dan bau.

Insiden pertama pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan ke atas jutaan pengguna berlaku pada 17 Mac lepas dan siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati ia berpunca daripada sebuah bengkel jentera berat di sekitar Sungai Gong, Rawang yang terlibat dalam penstoran sisa minyak.

Selang seminggu iaitu pada 27 Mac, LUAS menyatakan LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor dalam insiden pencemaran kedua disyaki berpunca daripada sebuah kilang bahan binaan di Bestari Jaya.



Namun ketiga-tiga LRA itu beroperasi semula kira-kira tiga jam kemudian selepas kerja-kerja mengawal baki aliran minyak selesai dengan tiada gangguan bekalan air.

Dalam insiden pencemaran ketiga, kurang sebulan daripada insiden sebelumnya, penduduk di Selangor dan Lembah Klang diuji dengan gangguan bekalan air kali kedua pada 16 April apabila empat LRA utama berkenaan dihenti tugas ekoran aliran air daripada sebuah kolam ternakan ikan di Hulu Selangor telah mencemarkan sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pada 27 Mei, gangguan bekalan air kali ketiga berlaku apabila LRA Sungai Selisik dihenti tugas ekoran tumpahan minyak diesel dalam insiden pencemaran kali keempat, menjejaskan 742 akaun pengguna Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di lapan kawasan di Hulu Selangor.



LUAS menyatakan pencemaran minyak itu berpunca akibat kemalangan sebuah lori tangki diesel dengan satu van di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan bahan bakar daripada kenderaan itu telah mengalir ke Sungai Siah di Perak yang mana LRA Sungai Selisik terletak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan.

Selang hampir empat bulan daripada insiden di Hulu Selangor, warga negeri ini dan Lembah Klang terpaksa bekerja keras lagi untuk mengangkut air apabila empat LRA utama dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau seakan bahan pelarut dikesan Sungai Selangor pada 3 Sept menyebabkan penduduk di 1,292 kawasan di tujuh wilayah terjejas bekalan air buat kali keempat.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pencemaran bau itu berpunca daripada sebuah kilang yang dikesan melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong, Rawang sebelum ia mengalir ke Sungai Sembah hingga masuk ke Sungai Selangor.



Insiden keenam pencemaran air mentah kembali terjadi pada 4 Okt lepas apabila LUAS mengesan terdapat bau seperti bangkai di Sungai Pajam, Negeri Sembilan sewaktu siasatan dijalankan susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat menyebabkan henti tugas LRA Semenyih dan Bukit Tampoi.

Henti tugas itu yang berpunca daripada aktiviti pembersihan sebuah ladang itik dan angsa di tepi Sungai Pajam itu mengakibatkan gangguan bekalan bagi kali kelima mengakibat 309,605 akaun pengguna air di 273 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Episod pencemaran sungai ketujuh berlaku lagi pada 19 Okt lalu di Sungai Gong apabila bau seakan pelarut berpunca daripada sebuah bengkel membaiki dan menjual jentera pembinaan dikesan masuk ke sungai itu dan menyebabkan henti tugas LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kali keenam melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang.



Seakan menjadi ‘rutin bulanan’, pada 10 Nov lepas, LUAS memaklumkan LRA Rantau Panjang dan SSP1, SSP2 serta SSP3 terpaksa dihenti tugas lagi susulan tindakan pengusaha sebuah premis di kawasan perindustrian di Taman Velox, Rawang melupuskan bahan buangan terjadual melalui tandas sebelum ia mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan memasuki Sungai Selangor. Susulan itu gangguan bekalan air kali ketujuh berlaku.

Pencemaran kali kelapan itu terjadi hanya dalam tempoh 24 jam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-undang (RUU) LUAS (Pindaan) 2020 pada 9 Nov lepas, untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pencemar sumber air antaranya hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara mandatori.

Terbaru pada 8 Dis, pencemaran kali kesembilan bekalan air di 1,274 kawasan di Lembah Klang terjejas lagi susulan LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 serta Rantau Panjang dihenti tugas apabila LUAS mengesan bau bangkai ikan pada sampel sumber air mentah yang diambil pada muka sauk LRA, sekali lagi menyebabkan gangguan bekalan air antaranya di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat..



Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata bau itu disyaki berpunca daripada satu kolam ternakan ikan yang melepaskan air ke Sungai Selangor bagi tujuan pengeringan kolam terletak kira-kira 8.7 km dari LRA Rantau Panjang.

Sehingga 28 Okt lepas, sebanyak 20 kes pencemaran telah dikesan berlaku dengan 9.45 peratus berpunca daripada tumpahan minyak, 7.35 peratus pencemaran bau, 3.15 peratus daripada efluen industri dan akuakultur manakala 1.5 peratus lagi berpunca daripada kekeruhan dengan lapan daripadanya menyebabkan henti tugas loji rawatan air.

Malah menurut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata sebanyak 15,361 kilang dan industri berlesen direkodkan pihak berkuasa tempatan beroperasi di dua lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat sehingga tahun lepas.



Beliau berkata daripada jumlah itu, 223 kilang dan industri berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang 72 premis terletak di lembangan Sungai Selangor dan 151 di lembangan Sungai Langat.

Jumlah kilang itu tidak termasuk premis dan industri yang beroperasi secara haram dengan kedua-dua kategori itu berpotensi untuk menjadi sumber pencemaran di lembangan sungai itu.

Pencemaran Sungai Gong pada 3 Sept lalu telah menjadi titik tolak kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa persekutuan untuk melaksanakan penguatkuasaan alam sekitar, dengan beberapa tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik premis bagi menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mencemarkan alam sekitar.

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat telah didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 15 Sept lepas berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, susulan pencemaran yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta akaun pengguna Air Selangor.

Pada 23 Nov lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain berhubung pencemaran Sungai Selangor, antara 2 dan 10 Nov lepas. BERNAMA

Kecuaian Exco Alam Sekitar punca Selangor tiada air?


Sebaran :


Leave a Reply