Masyarakat Pulau Pinang gembira perkhidmatan feri diteruskan

Rata-rata masyarakat Pulau Pinang gembira dan menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan semalam, yang memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan feri di negeri ini seperti biasa.

Pengguna perkhidmatan feri yang merupakan petugas kesihatan di sektor kerajaan Eng Zei Pei, 32, berkata, berita tersebut nyata memberi kelegaan kepadanya, kerana perkhidmatan feri sejak 126 tahun itu seharusnya dipelihara dan dijadikan sebagai lambang tarikan pelancongan di negeri ini, sampai bila-bila.

“Siapa tak sedih kan kalau lambang ikonik negeri ini ditamatkan perkhidmatannya. Bagi saya, satu kerugian besar. Tapi, sekarang lega, ini (keputusan kerajaan) saya rasa adalah satu keputusan yang mengambil kira semua pandangan, baguslah,” katanya yang menjadikan pengangkutan laut itu sebagai alternatif utama setiap kali ingin menyebarang pulau.

Terdahulu, tinjauan Bernama hari ini di terminal feri Pengkalan Sultan Abdul Halim dekat Butterworth, mendapati kenderaan masih berpusu-pusu menggunakan perkhidmatan feri berkenaan untuk ke seberang pulau.

Seorang lagi pengguna perkhidmatan feri Hazlina Aimi Kamarudin, 28, berkata dirinya kini tidak lagi gusar, kerana baginya menggunakan perkhidmatan feri sememangnya lebih cepat, tambahan tempat kerjanya berdekatan dengan terminal feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay dekat sini.

“Kalau tamatkan (perkhidmatan) feri susahlah, kena ulang alik naik jambatan (Pulau Pinang) adalah perkara yang ingin dielakkan, sebab tempat kerja saya dekat dengan terminal feri belah (sebelah) pulau.

“Tapi dah kata diteruskan, saya rasa lega sangat. Bagi saya kalau guna feri ni memang jimat masa sekitar 20 minit sahaja, berbanding guna jambatan,” katanya yang tinggal dekat Bagan Luar, Butterworth dan bekerja sendiri.

Sementara itu, D. Veerapan, 68, menganggap bahawa penggunaan perkhidmatan feri di negeri ini adalah sebagai satu langkah keselamatan buat pengguna, lebih-lebih lagi bagi penunggang motosikal.

“Naik kereta pun selamat, tiada kesesakan, eloklah jika (perkhidmatan feri) diteruskan balik,” katanya yang merupakan pesara kerajaan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu, akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Jan ini, manakala feri sedia ada pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan bagi pengguna basikal dan motosikal.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan, di negeri itu buat masa ini. BERNAMA

Guan Eng masih ada terowong ajaib dia – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker