PRN Melaka: Pilihan hari ini adalah bayangan PRU15

PRN Melaka: Pilihan hari ini adalah bayangan PRU15

HARI ini seramai 495,195 pengundi di Melakamembuat keputusan masa depan politik mereka melalui peti undi. Mereka akan membuat pilihan siapa dalam kalangan 112 calon bertanding mewakili lima parti politik, selain 22 calon Bebas bagi menduduki28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdepan kejanggalan luar biasa disebabkan kekangan ‘Dua P’ − Pandemik dan Politik, ia tidak menggugat semangat semua pihak untuk meraikan pesta demokrasi.



Meskipun PRN hanya melibatkan Melaka tetapi impaknya masih bersifat nasional. Keterbukaan dan persaingan sengit parti-parti politik jelas menggambarkan bagaimana senario politik negara pada masa hadapan terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

PRN Melaka memperlihatkan bukan sahaja norma baharu mencorakkan perjalanan proses pengundian disebabkan pandemik tetapi ia juga memperlihatkan banyak norma baharu dalam politik pilihan raya dan kepartian. Paling ketara sudah tentulah keanjalan parti-parti politik untuk bekerjasama dan membentuk pakatan.

Ia satu aspek yang membentuk norma baharu politik Malaysia pada masa hadapan. Persaingan seimbang dan keanjalan parti-parti politik, selain pertambahan 50 peratus jumlah pengundi (daripada 14.9 juta kepada 22.7 juta menjelang 2023) selepas undi 18 dikuatkuasakan dijangka menyukarkan pembacaan psikologi dan selera pengundi.

Dua faktor itu mungkin menyebabkan peralihan undi (vote swing) dan kesukaran mengenal pasti pola pemikiran pengundi baharu yang muda, tiada pengalaman serta pemahaman asas tentang politik dan mengundi itu sendiri.



Disebabkan itu, parti politik perlu menjadi lebih aktif dan kreatif dalam pendekatan pemasaran mereka.

Ketika PRU14, peralihan undi Melayu memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN). Namun, hayunan undi sekali lagi beralih dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sehinggalah ‘Langkah Sheraton’ memendekkan riwayat kerajaan PH.

Senario itu jelas menunjukkan bagaimana hayunan tersebut tidak lagi statik dan mengikut pola demografi yang biasa. Keterpecahan disebabkan persaingan parti-parti yang sengit telah membesarkan pilihan dan memberikan alternatif kepada pengundi. Ia menjadikan psikologi dan selera pengundi sukar dibaca.

BERADU KEKUATAN

Bukan pengundi sahaja yang sukar dibaca, malah parti politik juga sukar mengukur kekuatan lawan masing-masing.



Mengapa? kerana kemampuan parti lawan memecahkan undi walaupun kecil jumlahnya dan peratusan keluar mengundi di sesebuah kawasan boleh mengubah keputusan mana-mana pilihan raya.

Jadi, setiap parti ada peluang untuk sekurang-kurangnya menjejaskan lawan masing-masing mengambil kira persaingan tiga penjuru terus wujud pada pilihan raya akan datang.

Ambil kes di Melaka misalnya, demografi seimbang memperlihatkan bagaimana pertandingan tiga penjuru dijangka memecahkan undi, terutama di kawasan Melayu. Sejumlah 13 kerusi DUN yang mempunyai demografi pengundi Melayu tinggi (sekitar 70 peratus), manakala baki 15 kerusi itu adalah kawasan campuran.

Untuk rekod, PH menang pada PRU14 di Melaka disebabkan pecahan dan perubahan undi orang Melayu terhadap UMNO (sekitar 10 peratus) serta peratusan keluar mengundi yang tinggi (sekitar 88 peratus).



Jika peratusan keluar mengundi rendah dan Perikatan Nasional (PN) gagal pecahkan undi Melayu, maka BN berpeluang menang.

Jika pengundi bukan Melayu tidak pulang mengundi dan hayunan pengundi Melayu di kawasan campuran kembali kepada BN atau PN seperti dalam siri PRK sebelumnya, ada kebarangkalian PH hilang kerusi-kerusi strategik yang pernah dirampas sebelumnya seperti DUN Durian Tunggal, Gadek, Telok Mas, Kelebang, Machap Jaya, Paya Rumput, Rembia dan Bemban.

Secara mudahnya, hayunan undi akan ditentukan berdasarkan peratusan keluar mengundi terutama kelompok mana lebih ramai keluar mengundi.

Dengan PH dijangka mampu mengekalkan kerusi di DUN majoriti Cina, keputusan kerusi lain mungkin akan ditentukan berdasarkan dua faktor itu − peratusan keluar mengundi dan keupayaan parti saingan memecahkan undi secara signifikan.



Dengan pembesaran jumlah pengundi dan keanjalan pakatan politik masa hadapan, politik pilihan raya negara akan menjadi lebih kompleks dan sukar dijangka. Sebab itu PRN Melaka kali ini semacam ‘teaser’ tentang apa yang bakal kita lihat pada PRU15.

MUJIBU ABD MUIS

PRN Melaka: Pilihan hari ini adalah bayangan PRU15


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Buat pengundi Melaka, pilih BN untuk ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker