Komunikasi, Koordinasi.. Dua Asas Utama Wajib Berfungsi Ketika Krisis – Dr. Asyraf

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan dalam menghadapi sesuatu krisis, dua asas utama yang wajib berfungsi dengan berkesan ialah komunikasi dan koordinasi.

Tegasnya, apabila salah satu tidak berfungsi dengan baik akan tercetuslah suasana haru-biru, bahkan sebaliknya kemudaratan pula yang bakal melanda hingga menyusahkan rakyat.

“Contoh terbaik berlaku dalam krisis Coronavirus kini. Apabila diumumkan penutupan kampus-kampus univesiti, berkejar pelajar-pelajar universiti membeli tiket bas. Tiba-tiba polis pula mengumumkan keperluan untuk dapatkan permit pergerakan luar sempadan.

“Kementerian Kesihatan pula tidak galakkan keluar kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Akhirnya balai polis menjadi kawasan berisiko tinggi terdedah kepada Coronavirus lantaran kebanjiran orang ramai nak dapatkan permit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menarik balik arahan untuk orang ramai mendapatkan surat perlepasan untuk keluar ke negeri lain, selepas beberapa jam di sebelah petangnya menggesa orang ramai berbuat demikian.

Ekoran arahan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, tular di media sosial orang ramai membanjiri balai polis hingga menimbulkan kesesakan di beberapa lokasi terutama sekitar Lembah Klang.

Justeru itu, Dr. Asyraf memohon agar Majlis Keselamatan Negara dapat bertindak dengan segera memantapkan koordinasi dan komunikasi bersama-sama dengan semua Kementerian dan Agensi sebelum suasana menjadi lebih buruk dan rakyat menjadi mangsa keadaan.

Dalam pada itu juga, Dr. Asyraf turut menggesa agar pihak berkaitan memastikan kafe, kantin dewan-dewan makan di kampus-kampus tidak ditutup sepanjang 14 hari ini bagi menampung pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya pada Isnin malam berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, mulai hari ini hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker