Kerajaan Perak buktikan politik matang, beri peruntukan sama rata kepada semua Adun

IPOH: Tindakan kerajaan Perak meneruskan peruntukan kepada semua 59 ADUN dan speaker DUN serta peruntukan sama rata kepada pusat khidmat menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.

ADUN Teja daripada PKR, Sandrea Ng Shy Ching, berkata ia bukti kerajaan menghormati hak rakyat di semua kawasan dan menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Sebelum ini, ADUN pembangkang menerima peruntukan apabila menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan kerajaan iaitu adalah menjadi satu daripada syarat untuk kerajaan menyalurkan peruntukan secara sama rata.

“Bagi kerajaan Perak pada hari ini pula, peruntukan tetap diberikan kepada pembangkang meskipun sebenarnya tiada sebarang perjanjian yang mengikat pihak kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga exco perumahan dan kerajaan tempatan Perak berkata, penambahan peruntukan bagi setiap exco dilihat dapat membantu mereka melaksanakan tugas dan pembangunan di bawah portfolio masing-masing dengan lebih berkesan dan cekap.

Semalam, Menteri Besar Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2023 mengumumkan peruntukan bagi ADUN dan speaker pada kadar RM300,000 setahun bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan selain RM400,000 disediakan bagi empat program perayaan utama.

Saarani turut mengumumkan peruntukan pusat khidmat ADUN diteruskan dengan kadar RM7,000 sebulan iaitu dengan jumlah keseluruhan menghampiri RM500,000 setahun bagi semua 59 pusat khidmat.

Selain itu, setiap exco akan menerima tambahan peruntukan berjumlah RM300,000 iaitu peningkatan RM100,000 daripada 2022 yang tidak terhad kepada kawasan masing-masing.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik daripada Bersatu, Zainol Padzi Paharuddin berkata, beliau mengalu-alukan pengekalan peruntukan itu memandangkan beliau merupakan bekas exco yang bersama-sama Saarani ketika mula membuat keputusan mengenai pembahagian peruntukan sama rata kepada semua ADUN dan speaker ketika pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Ia boleh membantu ADUN untuk berurusan dengan rakyat yang memerlukan sumbangan kewangan segera, mahupun projek kecil di kawasan masing-masing seperti wang perbelanjaan bagi perjalanan untuk pergi mendapatkan rawatan, ziarah orang sakit atau kematian dan juga kos rawatan yang diperlukan.

“Peruntukan juga boleh digunakan bagi kerja pembaikan kecil di kawasan masing-masing seperti pembaikan atap atau bekalan bahan tertentu,” katanya.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada PRU15 (PRU15) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker