‘Penjenayah dukung kerajaan PN’ punca rasuah meningkat di Malaysia, kata Dr M

Kerajaan Perikatan Nasional didukung individu tertentu yang mempunyai “rekod jenayah” dan hakikat ini menyumbang kepada peningkatan amalan rasuah di Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa rasuah menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya selama 22 bulan setelah beberapa Ahli Parlimen gabungan itu berpaling tadah dan menyertai pembangkang ketika itu.

“Jadi, kerajaan sekarang terdiri daripada orang yang mempunyai rekod jenayah. Nampak seolah mereka ada pengaruh yang kuat ke atas kerajaan.

“Jadi, tahap rasuah di Malaysia sudah cecah paras yang begitu tinggi sehingga membahayakan kerajaan,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT.

Mahathir tidak menamakan individu yang dikatakan itu, namun menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin “menggunakan begitu banyak dana untuk membeli sokongan”.

Beliau juga berkata skandal 1MDB membuktikan bahawa “keseluruhan kerajaan” boleh dibeli, sekali gus menyerlahkan keseriusan masalah rasuah di Malaysia.

Mahathir berkata rasuah boleh melahirkan sebuah kerajaan yang tidak cekap atau hanya berminat menggunakan kuasa untuk memperkayakan pemimpinnya.

Mahathir berkata kerajaan Barisan Nasional tumbang kerana rasuah pada pilihan raya umum lalu, sesuatu yang beliau ramalkan semasa menjadi perdana menteri keempat.

“Ketika itu, saya sudah beri amaran tetapi sukar kerana ada orang ingin menjadi menteri dan sebagainya hinggakan sanggup meminjam duit untuk menyogok orang,” kata Mahathir.

Rasuah, menurut beliau, bukan sahaja menjadi budaya dalam kerajaan terdahulu, tetapi juga diamalkan pembangkang.

“Pembangkang juga, pada tahap tertentu, cuba untuk merasuah rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata rasuah, dalam cara tertentu, didayakan oleh demokrasi, kerana ia adalah ideologi yang berasaskan populariti.

Justeru, individu tertentu akan membuat apa sahaja untuk mendapatkan sokongan, termasuk mengamalkan politik wang, kata Mahathir.

“Jadi sekarang, orang mengundi mengikut suapan dan apa yang mereka boleh dapat. Sekarang, ia bukan lagi soal memilih calon terbaik tetapi memilih calon yang boleh beri duit,” kata Mahathir.

“Ini berlarutan sampai ke tahap keseluruhan kerajaan boleh dibeli,” kata beliau.

Pandangan Mahathir itu menyusul beberapa hari selepas Malaysia hanya berupaya mencatat 51 mata daripada 100 Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International tahun lalu.

Pada 2019, negara mencapai skor 53, peningkatan ketara daripada 47 mata sebelum pilihan raya umum 2018.

Dengan penurunan skor terbaru itu, Malaysia kini di tangga ke-57 di seluruh dunia, berbanding 51 sebelum ini, dan di belakang Arab Saudi, Mauritius, dan Itali.

Mahathir berkata rasuah dalam kerajaan juga menular ke dalam perkhidmatan awam.

“Kebiasaannya perkhidmatan awam adalah agak bersih…meskipun di peringkat tertentu rasuah berlaku,” kata beliau.

Mahathir berkata semasa menjadi kerajaan, PH berjaya menyingkirkan pegawai kanan yang terlibat dalam rasuah secara langsung atau tidak langsung.

“Tetapi sekarang amalan rasuah sudah kembali. Seperti yang anda maklum, ‘ranking’ Malaysia menurun dengan lebih mendadak bawah teraju kerajaan sekarang,” kata Mahathir.

Selepas janji ini dicapati PH berkali-kali; Lantikan politik perlu dilihat secara positif kerana mempunyai kepakaran tertentu pula- Najib

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker