Kerajaan digesa rancang tangani kemiskinan bandar pasca PKP sekarang

Penyelidik yang mengkhusus dalam isu sekitar kemiskinan bandar menggesa kerajaan menyediakan langkah memastikan golongan B40 boleh menyara hidup selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik.

Denison Jayasooria, seorang bekas felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, sebahagian besar B40 dan miskin bandar bekerja di sektor tak formal.

Bercakap kepada FMT, katanya ramai yang bekerja sendiri dan mungkin sekali kehabisan wang semasa PKP.

Buat masa ini, beliau menggesa kerajaan membenarkan perniagaan mikro yang bukan berada di zon merah dibuka dengan penjarakkan sosial.

Bagi jangka masa panjang, beliau mencadangkan rangkaian penempatan pekerjaan ditubuhkan dan tanah-tanah yang tidak digunakan dibuka untuk pertanian.

Beliau juga menggesa Putrajaya mengkaji kontrak tempatan untuk kegiatan seperti memotong rumput, membersihkan kawasan kejiranan dan pejabat, dan katering di mana pekerja asing boleh digantikan dengan orang tempatan.

“Juga terdapat keperluan untuk perlindungan sosial seperti Perkeso, insurans, penjagaan kesihatan, dan skim simpanan untuk sektor tak formal,” katanya.

Jayanath Appudurai, seorang ahli gerakan Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), berkata ahli ekonomi meramalkan ia akan mengambil masa antara 18 bulan sehingga 2 tahun untuk ekonomi kembali normal selepas wabak virus reda.

“Banyak isu yang dikaitkan dengan kemiskinan, seperti penyalahgunaan dadah, salah asuh, penderaan kanak-kanak, jenayah, dan sakit mental.

“Orang miskin bergantung pada upah harian. Kehidupan mereka akan dalam keadaan tidak baik selepas PKP,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan kemiskinan yang mungkin muncul pasca PKP.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menjawab kepada Parlimen, dengan mandat untuk menyelia pengurangan kemiskinan, tindakan afirmatif dan rangkuman sosial.

Berkaitan dengan itu, beliau juga mencadangkan suatu akta rangkuman sosial berdasarkan penyelidikan SABM yang menunjukkan 40% rakyat terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi.

Akta itu akan mempertimbangkan penyelesaian jangka masa panjang bagi membawa keadilan sosial dan mengangkat status sosio-ekonomi individu yang tak beruntung.

“Kira-kira 12 juta orang daripada isi rumah miskin dan berpandapatan rendah tiada kapasiti untuk mencukupkan keperluan harian,” katanya, dan menambah ini termasuk individu dan golongan lemah tempatan dan asing yang bergelut dengan diskriminasi dan marginalisasi.

Jayanath juga mengkritik garis kemiskinan negara iaitu RM980 sebulan bagi keluarga 4 anggota yang menurutnya tidak realistik.

“Dari segi kemiskinan relatif, anggaran kami 19% hingga 20% penduduk,” katanya.

Kemiskinan relatif merujuk kepada ketiadaan pendapatan minimum yang perlu untuk mengekalkan purata standard kehidupan dalam masyarakat.

Menurut saranan Bank Dunia, nilai ambang adalah RM2,770 bagi setiap isi rumah.

Beliau juga berkata garis kemiskinan relatif bagi rakyat seharusnya 60% daripada pendapatan isu rumah bulanan median, bersamaan RM3,150.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker