PH perlu tolak MUDA

PH perlu tolak MUDA

Oleh Shahrul Naim

PENGUMUMAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bergabung di bawah payung Pakatan Harapan (PH) menerima tentangan pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan ahli parti tersebut.

Sebelum ini, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah duduk di bawah satu bumbung dengan PH ketika pemerintahan kerajaan pakatan itu selama 22 bulan.



Namun, disebabkan kesetiaannya terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Syed Saddiq turut melangkah keluar daripada pakatan berkenaan.

Keinginan MUDA untuk menyertai PH bagi memastikan parti itu dapat bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Hal itu dapat dilihat apabila Syed Saddiq mengumumkan mahu bertanding dalam 15 kerusi Parlimen dalam pilihan raya berkenaan. Tanpa kerjasama daripada PH, amat sukar bagi MUDA untuk menempatkan calon dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, MUDA hanya memberikan ‘bala’ kepada PH sekiranya kerjasama antara kedua-dua pihak dimeterai.



MUDA tidak mempunyai calon yang berkaliber selain Syed Saddiq. Rakyat tidak begitu mengenali ahli-ahli MUDA selain Syed Saddiq.

Malahan portfolio ahli-ahli MUDA tidak begitu menonjol dalam arena politik, maka amat sukar bagi calon MUDA untuk meraih sokongan rakyat.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz yang memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga tidak menunjukkan pencapaian mengagumkan sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Tindakan MUDA untuk menyertai PH juga akan memberi kesan kepada sokongan parti tersebut pada PRU kelak.



Reaksi bercampur-campur yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PH akan mencetuskan persepsi dalam kalangan pengundi bahawa masih berlakunya konflik dalaman dalam pakatan berkenaan.

Tidak mustahil sekiranya pengundi terutamanya pengundi atas pagar lebih memilih parti yang stabil berbanding parti yang hanya menunggu retak.

Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRN terdahulu jelas menunjukkan PH masih jauh ketinggalan.

Maka, pakatan itu perlu melihat atau meneliti pelbagai aspek sebelum menerima MUDA dalam pakatan itu.

Selain itu, perjuangan MUDA masih tidak jelas dan kabur sehingga menyukarkan parti tersebut mendapat tempat di hati rakyat.

Sehingga sekarang, rakyat masih belum apakah bentuk perjuangan yang ingin dicapai dan langkah-langkah yang dibuat demi mencapai perjuangan tersebut.

Para penganalisis politik mengatakan rakyat hanya melihat MUDA sebagai sebuah parti yang penuh dengan keghairahan anak muda tanpa mengetahui apa di sebalik perkara tersebut.

Penganalisis juga berpandangan MUDA masih berada dalam bayang-bayang Syed Saddiq dan sukar untuk bertahan sekiranya tidak memiliki akar umbi yang kukuh.

Jelas penganalisis lagi, MUDA juga sukar untuk membina akar umbi disebabkan memerlukan modal yang besar dan perkara itu nyata menjadi halangan buat parti tersebut.

MUDA juga sudah dilabel sebagai ‘pengkhianat’ dalam kalangan anggota PH berikutan ketidakmatangan yang ditunjukkan oleh parti itu ketika PRN Johor. Sewaktu PRN tersebut, MUDA menjalinkan kerjasama dengan PKR.

Kedua-dua pihak juga sudah menyatakan persetujuan bahawa kerusi DUN Larkin sepatutnya diberikan kepada PKR.

Namun MUDA menarik diri di saat akhir dan meletakkan calonnya di kerusi tersebut.

Tindakan MUDA itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli PH kerana tidak mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan terbabit.

Berkemungkinan besar, perkara sama boleh berulang kembali. Ketidakpercayaan segelintir ahli-ahli PH terhadap MUDA bakal menyebabkan pakatan itu berpecah-belah dan seterusnya memberi impak buruk kepada PH.

Secara logiknya, kerjasama dengan MUDA tidak akan memberikan impak besar kepada PH. PH sudah mempunyai asas yang kukuh dalam dunia politik negara.

MUDA pula hanya dilihat ingin menggunakan platform PH sebagai batu loncatan untuk mereka bertanding dalam PRU.

MUDA masih belum memiliki trek rekod kukuh dalam dunia politik. Perjalanan parti itu masih jauh dan sukar untuk mengatakan parti tersebut mempunyai sokongan yang kuat.

Tanpa PH atau tidak, MUDA harus menunjukkan secara jelas kepada rakyat tentang perjuangan mereka dalam arena politik.

Tiada guna untuk hanya melontarkan pendapat kepada media atau di media sosial tetapi tiada hasil. Buktikan dengan tindakan, barulah rakyat akan percaya. MG

PH perlu tolak MUDA

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker