Takwa matlamat puasa

Takwa matlamat puasa

oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Betapa terujanya kita semua pada masa ini. Menjelang beberapa hari lagi kita akan menjengah ke bulan yang penuh dengan kemuliaan, keagungan dan keistimewaan yang dinantikan oleh seluruh umat Nabi Muhammad SAW. Perkara ini tidak diperoleh oleh umat lain sebelum ini. Walaupun mereka berpuasa, tetapi pelaksanaan dan ganjarannya tidak sama seperti yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Ramadan satu bulan yang sangat berbeza, sarat dengan amalan yang penuh barakah, bulan turunnya kitab suci al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia seterusnya kepada Rasulullah SAW, bulan yang sarat dengan keampunan dan limpahan ganjaran pahala yang berlipat ganda yang tiada pada bulan-bulan yang lain.



Allah SWT memerintahkan umatnya yang beriman tentang kewajipan menahan diri luaran dan dalaman melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Ayat ini jelas tertumpu kepada seruan kepada orang yang beriman, bukan hanya orang Islam semata-mata kerana keimanan seseoranglah yang membawa kepada kekuatannya untuk menahan lapar dan dahaga sebulan dalam bulan Ramadan. Iman adalah faktor utama yang cukup ampuh dan penting yang menyebabkan kita sanggup meninggalkan segala kelazatan dunia, hawa nafsu dan perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Apakah puncanya ia boleh jadi begitu? Ini disebabkan oleh matlamat atau KPI yang ditetapkan oleh Allah SWT iaitu ketakwaan yang mutlak pada hujung Ramadan.

Definisi takwa

Takwa satu perkataan yang didengari saban minggu, terutama sekali ketika umat Islam mendengar khutbah Jumaat, bukanlah satu seruan yang biasa sahaja, tetapi mengandungi seruan memperbaharui janji kita kepada Allah SWT untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menyeru ke arahnya dan mencegah kemungkaran serta perkara keji dan maksiat. Allah SWT berfirman dalam banyak ayat al-Quran sebagai contoh dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 21)

Selain itu firman-Nya: “Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa.” (al-Baqarah: 41)



Di samping itu, ayat yang lain: “Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkatkan gunung (Thursina) di atasmu (seraya Kami berfirman): “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 63)

Ciri-ciri istimewa orang bertakwa

Ciri-ciri orang bertakwa itu diperincikan lagi oleh Allah SWT dalam surah yang sama melalui firman-Nya: “Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan ke Barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-peminta sedekah, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila ia berjanji dan orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 177)

Justeru jelas keimanan dan ketakwaan mesti seiring demi merealisasikan matlamat selepas sebulan beribadah. Ini kerana bukan semua orang yang mengaku Islam itu mempunyai keimanan yang jitu untuk menahan nafsu syahwatnya daripada melakukan perkara yang menjadi rutin hariannya dalam sebelas bulan yang sebelumnya. Nabi Muhammad SAW bersabada dalam hadisnya: Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat al-Bukhari)



Takwa tiket syurga

Maka jelaslah ketakwaan jugalah yang akan menjadi tiket utama untuk menempah syurga Allah SWT. Ini jelas dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran. Sebagai contoh Surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” Begitu juga Surah An-Naba’ ayat 31: “Sesungguhnya, orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan dan kejayaan.”

Ini juga disusuli dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga 70: “(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang beriman akan ayat keterangan Kami serta mereka menjadi orang Islam yang taat dan patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman) dengan menikmati sepenuh-penuhnya kegembiraan dan kesenangan.”

Puasa zahir batin



Ini jelas melambangkan orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya dan pertuturannya) dan juga masih melakukan maksiat dan kemungkaran, tidak akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana berpuasa melainkan mereka akan merasa lapar dan dahaga sahaja sepanjang masa tersebut. Ini bermakna puasa mereka hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak memberikan apa-apa impak yang positif dalm membentuk sahsiah sebagai individu yang mengaku beriman.

Oleh itu jelaslah puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga dengan sepenuh perhatian segala pancaindera mereka daripada melakukan maksiat, dosa dan kemungkaran di samping menambahkan amal ibadat lain yang jarang dilakukan oleh mereka sebelum ini, sepanjang mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Marilah kita menguatkan azam dan semangat penuh bermotivasi, bertunjangkan wahyu Rabbani dan sunnah Nabawi untuk melipatgandakan amalan dalam bulan puasa pada tahun ini, insya-Allah. HM

Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)



Takwa matlamat puasa


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tengku Hassanal Kongsi Momen Bertemu Tengku Aleya, Sempat Kena ‘Sound’ Dengan Raja Permaisuri Agong



Resepi Ayam Masak Merah Ala Kenduri, Tak Guna Sebarang Sos Pun

Laptop Tak Mampu Beli, Tapi Pakai iPhone – Rani Kulup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker