Kerajaan PH lawat luar negara bawa balik hutang – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih suka melawat luar negara untuk membawa balik hutang, susulan penerbitan bon Samurai bernilai kira-kira RM7.3 bilion.

Menurut Najib, pada permulaannya kerajaan berkata bon tersebut akan digunakan untuk membayar balik pinjaman mahal yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), namun kemudian mendapati langkah itu tidak dilakukan.

Beliau sebaliknya mendapati Kementerian Kewangan yang dirujuknya sebagai kementerian kewayangan, akan menggunakan hasil penerbitan hutang itu untuk tujuan umum bagi membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur utiliti.

“Bukan lagi untuk membayar balik hutang, sekali lagi rakyat Malaysia ditipu. Maka, hutang rasmi negara bertambah lagi hari ini. Tambah lagi RM7.3 bilion ke atas RM761.5 bilion pada akhir Februari. Hari ini sudah naik kepada RM768.8 bilion.



“Dulu kerajaan BN sering ke luar negara untuk membawa balik pelaburan luar. Kini kerajaan PH lebih suka melawat ke luar negara untuk membawa balik hutang,” dakwa Najib dalam laman Facebook beliau hari ini.

Beliau turut mendakwa, sekiranya kerajaan PH tidak menjarah RM82 bilion daripada Petronas pada tahun 2018, hutang rasmi sudah meningkat kepada RM850.8 bilion berbandng RM686 bilion pada akhir 2017 masa BN.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker