Nak Melayu, India masuk

Nak Melayu, India masuk

Sukan sentiasa menjadi wadah perpaduan terutama buat negara berbilang kaum seperti Malaysia dan itu jugalah yang ingin dilihat pemenang dua emas Sukan Komanwel Birmingham, Ng Joe Ee.

Kejayaan yang diraih atlet gimrama berusia 16 tahun ini disambut gembira seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan pangkat semuanya bangga melihat pencapaian berkenaan serta tidak putus-putus menghamburkan pujian kepadanya.

Joe Ee mengakui sukan adalah medium terbaik buat rakyat berbilang bangsa sama-sama meraikannya jika ada kejayaan diraih terutama di peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu sukan boleh menyatukan semua begitu juga dalam kalangan atlet gimrama itu sendiri, kita satu Malaysia, tidak ada masalah untuk berlatih bersama atlet berbangsa India dan Melayu. Semuanya berlatih bersama-sama, barulah ia dilihat sangat menyeronokkan,” kata Joe Ee.

Bagaimanapun, dia berharap satu hari nanti lebih ramai atlet daripada kaum India dan juga Melayu dalam skuad senior gimrama negara berbanding sekarang ini dikuasai oleh atlet bangsa Cina.

“Saya harap satu hari nanti akan ada atlet daripada kaum India, begitu juga Melayu kerana sekarang ini dalam skuad senior hanya ada Izzah (Amzan) sahaja,” katanya.

Apa yang diinginkan Joe Ee itu mengimbau kembali kenangan penuh bersejarah skuad gimrama negara ketika beraksi di Sukan Komanwel 1998 di laman sendiri.

Ketika itu skuad gimrama negara dianggotai oleh atlet berbilang kaum seperti Thye Chee Kiat, Carolyn Au Yong, El Regina Tajudin dan Sarina Sundarajah.

Sejarah yang dilakar ketika itu ialah meraih emas dalam acara berpasukan selepas memungut 93.023 mata meninggalkan Kanada dengan 92.962 mata dan Australia pingat gangsa dengan 92.937 mata.

Ditanya mengenai sambutan Hari Kebangsaan, atlet yang meraih emas dalam acara riben dan bola itu mengakui, ia mengimbau kembali kenangan ketika zaman dia menjadi atlet remaja.

“Saya pernah menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya, ketika itu saya masih lagi dalam skuad remaja. Saya suka melihat semua orang meraikannya dengan penuh gembira. Bahagian yang paling saya suka di upacara berkenaan adalah ketika persembahan tarian dan juga perbarisan.

“Ketika saya kanak-kanak pula, saya bangun awal untuk menonton perarakan Hari Kebangsaan di kaca televisyen. Suasana tahun ini juga cukup berbeza selepas dua tahun kita suram akibat pandemik Covid-19. Kali ini untuk sambutan ke-65 ia lebih menarik.

“Sebelum ini hanya duduk di rumah tidak berbuat apa-apa. Kibaran Jalur Gemilang juga lebih meriah berbanding dua tahun sebelum ini,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur ini juga ternyata mempunyai semangat yang mendalam buat negara, apabila sudah menanamkan impian untuk menjadi jurulatih sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat universiti.

“Selepas menamatkan pengajian di kolej, saya mahu menjadi jurulatih. Mempunyai pasukan sendiri dan membawa mereka menyertai pertandingan. Memang dari sekolah lagi saya mempunyai cita-cita untuk menjadi jurulatih gimrama. Memang bukan satu tugas mudah tapi sama saja, kedua-dua sama ada atlet mahupun jurulatih ia tetap mempunyai cabaran tersendiri.

“Saya merasakan seperti mempunyai perwatakan lain sebaik sahaja pulang dari Birmingham. Saya pulang dengan menjadi lebih kuat. Saya gembira dengan pencapaian saya walaupun ia sangat mengejutkan.

“Keterujaan itu masih belum berakhir, masih terasa suasana apabila disambut dan dipeluk ahli keluarga. Mereka terkejut dalam penampilan pertama saya di temasya besar, saya sudah berjaya membawa pulang dua pingat emas. Mereka tidak sangka pada usia 16 tahun saya boleh meraih pencapaian seperti itu,” katanya.

Pelajar Sekoleh Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu berkata, dia tidak perasan sambutan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah di media sosial.

“Saya tidak perasan dengan sambutan seperti itu di media sosial, hanya dapat tahu daripada kawan saya sahaja. Sambutannya memang luar biasa sehingga saya terpaksa menolak undangan pelbagai pihak terutama di sebelah pagi kerana saya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran serta persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Joe Ee.

Dia yang terlebih dulu berkecimpung dalam tarian balet ketika usia empat tahun sentiasa mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan tidak berbelah-bahagi buat skuad gimrama negara.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan sihat, gembira dan lebih ramai meminati sukan ini. Selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” kata Joe Ee. HM

Nak Melayu, India masuk


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Benarkah Iskandar Zulqarnain adalah Alexander The Great? Bhg 3

Soo Wincci rasa tenang masuk masjid

Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker