Malaysia akan terus kerjasama dengan US untuk kemakmuran ekonomi, keselamatan – Ismail

Malaysia akan terus kerjasama dengan US untuk kemakmuran ekonomi, keselamatan – Ismail

Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menghargai hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin dan akan terus bekerjasama dalam aspek keselamatan dan kemakmuran ekonomi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata demikian pada majlis jamuan tengah hari sempena meraikan Pelosi yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.



Pelosi dan delegasi kongresnya tiba di Malaysia pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Ismail dalam ucapan alu-aluannya, berkata kedua-dua pihak mempunyai hubungan yang baik dan menjadi rakan kongsi penting dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, kesihatan dan pertahanan.

Perdana menteri berkata, perkongsian itu terus diperkukuhkan lagi dan semakin erat susulan Sidang Kemuncak Khas Asean-AS yang diadakan di Washington D.C dari 12 hingga 13 Mei baru-baru ini, sekali gus menjadikan Asean semakin dekat dengan AS.

Perkongsian itu terus diperkukuhkan menerusi kerjasama diplomasi vaksin menyaksikan AS telah menyumbangkan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 kepada Malaysia untuk membantu negara memerangi wabak itu.



Selain itu menerusi kerjasama pertahanan, AS telah memberi pelbagai bantuan setakat ini, termasuk geran bernilai USD200 juta, katanya.

“Seperti kita tahu, Malaysia dan AS mempunyai hubungan baik dan merupakan rakan kongsi yang penting dalam semua bidang. Dalam bidang ekonomi dari segi pelaburan AS merupakan pelabur terbesar dalam negara,” katanya ketika berucap menggunakan bahasa Melayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Pelosi dan delegasinya atas lawatan sulungnya ke Malaysia dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.



Sementara itu, Pelosi berkata, beliau dan delegasinya bersedia untuk mempelajari lebih banyak daripada Malaysia dan bekerjasama rapat dari segi keselamatan dan kemakmuran ekonomi.

“Malaysia sangat penting. Kami telah menjalin hubungan lebih 60 tahun antara AS dan Malaysia. Kami menghargai hubungan itu,” katanya.

Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun. Lawatan beliau menjadi tumpuan banyak pihak yang menantikan sama ada Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya.

Kementerian Luar China sebelum ini menyatakan jika Pelosi melawat Taiwan, Beijing akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya, dan AS perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kesan yang timbul daripada lawatan itu.



Selain itu, Pelosi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun di bangunan Parlimen.

AS menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 berikutan kemerdekaan Malaya daripada Britain.

Negara itu juga menjadi rakan perdagangan global ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport, manakala Malaysia pula rakan dagang ke-17 terbesar AS.

Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global akibat penularan Covid-19, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 21.4% tahun ke tahun kepada RM217.10 bilion (USD52.37 bilion) pada 2021. FMT



Malaysia akan terus kerjasama dengan US untuk kemakmuran ekonomi, keselamatan – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pesawat terhempas di Ipoh, jurulatih penerbangan maut [VIDEO]



Kereta BMW plat Singapura langgar kereta anak Sultan Johor [VIDEO]

Resepi Mee Kuah Udang Bikin Mentua Sayang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker