Dugaan 10 peniaga akibat api misteri bakar hotel

Dugaan 10 peniaga akibat api misteri bakar hotel

ALOR SETAR: “Kami baru nak mulakan hidup baharu berniaga selepas terkesan akibat pandemik COVID-19, sekarang kedai makan tempat saya dan sembilan peniaga lain mencari rezeki pula terbakar,” kata Farah Wahida Mohd Pauzi, 36.

Farah Wahida adalah pemilik kedai makan Pine 2, Jalan Limbung Kapal yang terkesan akibat kebakaran membabitkan sebuah hotel dua tingkat yang musnah awal pagi semalam.

Menurutnya, kedai makan yang diusahakan bersama keluarga sejak 2016 itu terbakar di bahagian hadapan menyebabkan beberapa peti sejuk beku yang tersimpan di situ turut musnah.

Kebakaran sekitar 2.26 pagi manakala kedai makan itu ditutup jam 12.45 tengah malam.

“Sebelum ini pernah berlaku kebakaran kecil di hotel ini sejak awal bulan sehingga menyebabkan saya fobia melihat jentera datang memadam kebakaran.

“Saya memang tak sedap hati kerana paling terkini kebakaran berlaku adalah semalam (kelmarin) iaitu jam 8 pagi dan saya tertanya-tanya kenapa bangunan itu tak terbakar keseluruhan, tetapi hanya kebakaran kecil.

“Dan hari ini (semalam) apa yang saya bimbangkan berlaku dan kebakaran itu menyebabkan kedai makan saya turut terkena tempias,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran semalam.

Menurut Farah Wahida, kedai makan Pine 2 miliknya itu sering menjadi tumpuan orang ramai. Ini kerana terdapat 10 kios peniaga disewakannya dengan pelbagai jenis makanan.

“Saya kasihankan nasib peniaga yang sewa di sini kerana mereka tak dapat teruskan berniaga kerana banyak barangan yang rosak.

“Kami memerlukan masa panjang untuk membaiki semula atau membeli barangan yang rosak dalam kebakaran itu, tetapi ini semua dugaan buat kami,” katanya.

Menurut Farah Wahida, anggaran kerugian sekitar RM40,000 kerana peti sejuk menyimpan stok makanan bermasak musnah.

JBPM buat siasatan lanjut kebakaran misteri hotel 6 kali

Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah melakukan siasatan lanjut berhubung kebakaran misteri membabitkan kebakaran kali keenam sebuah hotel dua tingkat di pusat bandar raya ini.

Kebakaran yang berlaku enam kali dalam tempoh sebulan itu masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peniaga dan penduduk di kawasan itu.

Tinjauan di lokasi kebakaran semalam mendapati, dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K-9) dari JBPM Jalan Klang Lama, Selangor itu tiba di lokasi untuk membantu mengesan bahan bukti di tempat kejadian.

Pihak bomba turut mengambil keterangan daripada saksi kejadian bagi membantu siasatan berhubung kebakaran kali keenam yang berlaku di hotel itu bulan ini.

Seorang peniaga di premis berhampiran hotel berkenaan, Ishak Ahmad, 48, berkata, ketika kejadian dia baru hendak pulang ke rumah sebelum ternampak api di bahagian atas hotel berkenaan.

Katanya, ketika itu dia terdengar orang ramai menjerit ‘api’ sebelum bahagian keseluruhan premis itu terbakar.

“Ketika itu saya nampak pasukan bomba tiba memadam kebakaran serta pasukan polis.

“Kebakaran merebak dengan cepat kerana bahagian atas hotel itu dindingnya papan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi yang bermula sejurus panggilan diterima jam 2.26 pagi semalam pada jam 9.53 pagi.

Beliau berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan dua kedai iaitu kedai makan terbakar.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian berlaku,” katanya.

– – – – – – – – – – – – – – – –

Krolonogi kes

1) Kebakaran pertama pada 7 Julai lalu jam 9.28 malam membabitkan perkakas elektrik (pendingin hawa) terbakar di sebuah bilik.

2) Kebakaran kedua pada 11 Julai lalu jam 5.28 pagi membabitkan bilik hotel kelas B dengan anggaran kemusnahan akibat kebakaran sebanyak 20 peratus.

3) Kebakaran ketiga pada 12 Julai pada 9.28 pagi membabitkan bilik dengan anggaran keluasan membabitkan 15 peratus.

4) Kebakaran keempat pada 13 Julai jam 1.45 pagi di hotel berkenaan membabitkan sebuah bilik anggaran kemusnahan adalah 20 peratus.

5) Kebakaran kelima pada 26 Julai pada jam 8.14 pagi membabitkan sebuah bilik yang mengakibatkan kemusnahan sebanyak 10 peratus (bilik dan bumbung)

6) Kebakaran keenam pada jam 2.26 pagi semalam membabitkan keseluruhan bangunan dan terdapat dua bangunan lain turut musnah terbakar yang mengakibatkan kemusnahan 90 peratus. BH

Dugaan 10 peniaga akibat api misteri bakar hotel


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Bihun Soto Tersedap, Wajib Menambah 2, 3 Kali!

Penyokong pendidikan seks puji demonstrasi kondom di sekolah

Wanita Mat Salleh lebih Melayu daripada Melayu, tabah diuji suami sakit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker