Peluang 2,500 anak veteran tentera lanjut pelajaran di UniRazak – Ismail

Peluang 2,500 anak veteran tentera lanjut pelajaran di UniRazak – Ismail

ANAK veteran tentera berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) secara percuma untuk tempoh setahun dengan kos pengajian ditanggung oleh universiti berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata program itu akan melibatkan 2,500 anak veteran tentera bagi tempoh lima tahun dengan perbelanjaan untuk seorang pelajar dijangka RM12,500 bagi tempoh setahun, sebelum pelajar terlibat boleh memilih sama ada mahu kekal di universiti itu atau melanjutkan pelajaran ke universiti lain.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga secara dasarnya bersetuju untuk memberi bantuan RM500 untuk mereka yang menjaga pasangan yang terlantar sama ada isteri atau suami, iaitu inisiatif yang dirundingkan semasa beliau menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

“Kerajaan tidak pernah melupakan jasa veteran (tentera) terhadap negara dan kita pasti membantu dalam apa jua segi bagi mengurangkan beban dihadapi veteran. Kita mahu pastikan kebajikan veteran terjaga sebab mereka selama ini bersabung nyawa mempertahankan negara.

“Saya juga sentiasa terbuka untuk berjumpa dengan mana-mana pihak untuk berbincang mengenai isu yang membabitkan hal ehwal veteran (tentera) kerana isu ini amat dekat dengan saya,” katanya semasa berucap merasmikan Pejabat Pentadbiran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) Cawangan Bera di Taman Merbau Indah di Bera malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Pengarah JHEV ATM Pahang Mejar Khairul Ashinar Azid@Aziz.

Selain isu kebajikan, Perdana Menteri berkata isu perumahan veteran juga antara fokus utama beliau supaya golongan berkenaan dapat memiliki rumah yang selesa, dengan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited menyediakan kuota khas kepada warga pertahanan termasuk veteran bagi setiap projek rumah mampu milik yang dilaksanakan.

Menurutnya ia termasuk di Bera, apabila 1,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dijadual dibina di daerah ini, dengan beliau telah meminta supaya peruntukan khas diberikan kepada golongan veteran tentera.

“… antara fokus utama saya sejak menjadi Menteri Kanan Pertahanan ialah isu perumahan. Bayangkan perasaan veteran apabila mereka masih menjadi tentera, berada jauh di sempadan atau hutan tetapi rumah keluarga mereka berada dalam keadaan yang tidak selesa.

“Ini sudah pasti memberi kesan kepada mereka walaupun kita tahu semangat juang mereka kuat. Sebab itu kita fokus dan beri tumpuan untuk memastikan mereka mempunyai rumah yang selesa dan baik,” katanya.

Pada program itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan RM20,000 kepada persatuan veteran tentera Bera bagi urusan pengurusan dan pentadbiran persatuan yang sudah mula beroperasi sejak 2016, dengan beliau difahamkan terdapat 3,000 veteran tentera di Daerah Bera.Utv

Peluang 2,500 anak veteran tentera lanjut pelajaran di UniRazak – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SM Faisal tuntut harta sepencarian terhadap bekas isteri

Nora buat pembedahan besarkan payu dara

Yazmin Aziz cium pemain bolasepak Kelantan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker