Ustaz Kazim Elias Mohon Bantuan Rakan Di Thailand Cari Bomoh Yang Menyihir Beliau



IPOH: Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias akan mencari individu di Thailand yang dipercayai mengenakan sihir terhadapnya seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, beliau akan dibantu oleh seorang sahabatnya dari Thailand yang tiba di negara ini sejak dua hari lalu.

“Kita nak cari orang di Thailand yang disebut berkali-kali, yang orang jumpa gambar saya di tempat rawatan.

“Kita nak pujuk balik dia supaya buangkan sihir dia dan dengan izin Allah tidaklah jadi sihir lagi,” katanya dalam siaran langsung di Facebook milik beliau pagi ini.

Siarang langsung bertajuk ‘Prank, Berlakon atau Real’ itu diadakan di Facebook miliknya bernama Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias dan mendapat tontonan lebih 11,000 orang.




Ustaz Kazim yang diserang penyakit misteri berkata, pihaknya sanggup membayar individu yang digelar bomoh di Thailand tersebut agar menghentikan sihir yang dikenakan terhadapnya.

Semalam, Ustaz Kazim dalam satu hantaran di media sosial miliknya memohon bantuan orang ramai yang boleh mengubati penyakit dialaminya.

Hantaran gambar yang dimuat naik beliau petang semalam menunjukkan sebelah tangannya yang ditumbuhi beberapa ketulan kecil warna hitam.

Beliau kemudiannya memuat naik hantaran kedua sekitar pukul 2.30 pagi tadi menunjukkan keadaan mukanya dipercayai akibat perbuatan sihir.

Ustaz Kazim menulis: “Ini (gambar) keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak. Bukan hanya di muka malah seluruh badan”.




Menurutnya, beliau boleh jadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah.

“Saya perlukan pertolongan untuk sesiapa, baik doktor atau daripada perubatan alternatif untuk merawat saya. Sakit gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tak boleh lagi saya sorok,” katanya. –UM



Leave a Reply

Your email address will not be published.