Lelaki ugut pelayan restoran guna pistol tiruan dibeli di media sosial ditahan polis

Polis menahan tiga lelaki berhubung kes menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang pelayan restoran di sebuah hotel dengan menggunakan pistol tiruan.

Ketua Polis Daerah Petaling, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pukul 9.18 malam, 1 Disember lalu, seorang lelaki mengugut mangsa untuk memberikan butiran mengenai seorang pelanggan tetap restoran itu yang bergelar Datuk Seri.

Katanya, apabila mangsa tidak mengetahui butiran itu, suspek itu bertindak agresif dengan mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol ke arah mangsa sambil mendakwa dirinya seorang anggota polis.

“Bertindak ke atas laporan mangsa, pada hari yang sama, polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 51 tahun yang dipercayai ada kaitan denga kejadian itu, kira-kira pukul 2.30 petang,” katanya pada kenyataan di sini, pada Ahad.

Nik Ezanee menambah, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, satu kelopak kosong pistol, sebuah kereta Toyota Vios, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan dua buah telefon bimbit.

Berdasarkan keterangan awal, beliau memberitahu, suspek berusia 22 tahun mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mendedahkan dia membeli pistol tiruan itu menerusi media sosial dengan harga RM1,030.

Katanya, polis tahan reman lelaki itu selama empat hari manakala dua lagi rakannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes itu jelasnya, disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 kanun sama dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960. Awani

Lelaki ceroboh masuk istana, bawa pistol mainan, pisau

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker