Projek MRT 3 yang dihentikan PH akan dilaksanakan semula

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini, bersetuju untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan, terutama golongan Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta pekerjaan untuk ‘Keluarga Malaysia’.

“Ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasa sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan, tahun ini.

“Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengenai projek LPB, Ismail Sabri berkata, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan, membabitkan sebanyak 15 pakej dengan kemajuan kerja ketika ini sudah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

“Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan meMBABITKAN jajaran sepanjang 367 kilometer (km) dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

“Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786km dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

“Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menyediakan peruntukan pembangunan bernilai RM1 bilion setahun bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya, Kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 2023 sehingga 2030, selepas mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara serta kesejahteraan rakyat.

“Keputusan melaksanakan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Projek MRT 3 yang dihentikan, akan dilaksanakan semula – Ismail Sabri


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Johor: Mahathir Melihat Maszlee Malik Sebagai Menteri Pelajaran Yang Bermasalah

Video beri gambaran impak sekiranya semua senjata nuklear meletup [VIDEO]

PRN Johor: Muhyiddin Menipu Apa Hari Ini?

Hasil Forensik, Polis Dedah Temui Luka Besar Di Paha Tangmo Nida, Calar Di Badan Penumpang Bot

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker