Bayi dua bulan meninggal dunia sewaktu dalam jagaan pengasuh

GOMBAK – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan disahkan meninggal dunia sewaktu berada di bawah jagaan pengasuhnya dalam satu kejadian di sebuah apartmen di Batu 7 Gombak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan tentang kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam selepas bayi berkenaan dibawa ke sebuah klinik di Sri Gombak untuk pemeriksaan.

“Bayi berkenaan dijaga oleh seorang wanita tempatan berusia 43 tahun dan wanita tersebut mendakwa bayi berkenaan dihantar oleh ibunya yang tinggal bersebelahan rumah pada pukul 8 pagi hari kejadian.

“Bayi tersebut kemudiannya dipercayai tidur selepas diberikan susu namun kira-kira pukul 11.45 pagi, pengasuh mendapati bayi berkenaan tidak memberikan respon selepas digerakkan lalu bergegas membawanya ke klinik berdekatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, bayi itu merupakan anak pertama pasangan suami isteri, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang bekerja sebagai operator kren dan pembantu tadbir.

Menurut Arifai, sebaik sampai di klinik tersebut, doktor bertugas telah mengesahkan kematian bayi berkenaan namun punca kematian masih belum dapat dikenalpasti.

“Mayat bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat akan dijalankan esok.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperolehi,” jelas beliau. – K! ONLINE

Bayi 4 bulan meninggal dunia di rumah pengasuh di Putrajaya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker