Apa status tiga pilihan raya kecil?

PUTRAJAYA: Status Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Gerik, Perak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah masih kekal dengan keputusan tidak diteruskan.

Ketiga-tiga PRK itu masih tertakluk di bawah Ordinan Darurat yang digazetkan bertarikh 12 Disember 2020 bagi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya manakala 18 Disember 2020 bagi Parlimen Batu Sapi.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, suatu ordinan boleh dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK.



Pada masa ini, ordinan itu masih berkuat kuasa dan belum diungkaikan sebagaimana dinyatakan di bawah tiga Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi; Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2020 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.054 Gerik dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 3) 2020 Bahagian Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah.

Mengikut ordinan itu, bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kehendak untuk mengisi kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, tidak mempunyai kesan bagi maksud Bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik dan Batu Sapi.

Bagi DUN Bugaya pula, ia tertakluk di bawah Fasal (5) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah.

Oleh itu, tarikh yang ditetapkan bagi maksud menjalankan PRK adalah dibatalkan dan apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan pilihan raya itu tidak diteruskan.



Jika Proklamasi Darurat itu dibatalkan, maka, bagi mengadakan PRK untuk mengisi kekosongan luar jangka itu, SPR hendaklah menetapkan tarikh semula PRK berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat dibatalkan.

PRN Sarawak: BN tidak akan khianat ‘rakan’, sokong GPS 100%

“Ketiga-tiga bahagian pilihan raya tersebut adalah terikat dengan Proklamasi Darurat masing-masing dan tiada had tempoh serta tidak terkesan dengan Proklamasi Darurat 2021 yang tamat pada 1 Ogos lalu.



“Bagaimanapun, ada implikasi sekiranya darurat dibatal atau diungkai bagi ketiga-tiga proklamasi, bagi Parlimen Gerik dan Batu Sapi memang betul telah menjangkau kurang dua tahun dari tempoh tamat penggal, namun masih tertakluk kepada Speaker DUN masing-masing untuk memaklumkan perlu atau tidak dijalankan PRK.

“Bagi Bugaya, tidak perlu Speaker maklum. Tempoh 60 hari untuk buat PRK bermula selepas darurat bahagiannya dibatal atau diungkai,” menurut satu sumber kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam kenyataan SPR sebelum ini, menurut Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, sehubungan dengan pengisytiharan darurat itu, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK tidak akan diteruskan dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Sebelum ini, PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember 2020 selepas kerusi Parlimen itu kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober tahun lalu.



Kekosongan kerusi Parlimen Gerik pula berlaku selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat sakit jantung pada 16 November 2020.

Kerusi DUN Bugaya juga kosong susulan kematian penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd. Darah pada 17 November 2020.

SPR sebelum ini menetapkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021.

Bagaimanapun, mengikut peraturan SPR, PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan itu berlaku kurang daripada dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal Parlimen Ke-14 pada 2023.



Justeru, PRK bagi Parlimen Gerik dan Batu Sapi tidak akan diadakan, namun kemungkinan PRK bagi DUN Bugaya masih boleh diteruskan, jika Proklamasi Darurat itu diungkaikan kerana tempoh DUN Sabah Ke-16 baru berusia setahun. – UTUSAN ONLINE

Apa status tiga pilihan raya kecil?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




PRN Sarawak: PAS bertanding sebab GPS bukan komponen PN – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker