Majikan berumur 82 tahun cuba ‘try’ pekerja wanita dihadapkan ke mahkamah

Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul pekerja wanitanya yang berumur 50 tahun.

Tertuduh, Liang Sing Kup, 82, yang berdepan hukuman penjara 10 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan cara meraba tangan, memeluk badan serta memegang kepala dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.50 petang di bilik pejabat majikan di sebuah premis syarikat di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 11 September 2023.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam A. Renganathan Abdullah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker