Kenaikan harga minyak untungkan negara

Kenaikan harga minyak untungkan negara

Trend kenaikan harga minyak mentah global sejak Ogos lalu sehingga melebihi AS$80 setong kebelakangan ini memberi manfaat kepada Malaysia sebagai antara pengeksport utama komoditi itu.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata harga minyak mentah boleh melepasi paras AS$100 setong pada akhir 2021 atau awal 2022 seandainya proses pemulihan ekonomi global terus positif.

Katanya, perkembangan itu akan menguntungkan negara ini kerana membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi sektor perlombongan minyak mentah dan industri yang mempunyai rantaian bekalan dengannya di samping mengukuhkan hasil kerajaan Persekutuan.

“Trend harga minyak mentah ini disokong oleh pemulihan ekonomi global yang positif ditambah dengan lebih banyak pembukaan sektor ekonomi serta sempadan oleh negara ekonomi utama.

“Minyak mentah bertindak sebagai bahan api utama yang digunakan oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan (pengangkutan). Apabila sektor perkilangan dan pengangkutan bertumbuh, maka permintaan ke atas minyak mentah meningkat.

“Peningkatan permintaan ini seterusnya akan menyebabkan lonjakan dalam harga minyak mentah.

“Jika pemulihan ekonomi global berterusan dan dengan andaian tiada pertikaian geopolitik, harga minyak mentah dunia dijangka terus menunjukkan trend meningkat,” katanya kepada BH.

Beliau bagaimanapun berkata, dari satu sudut lain, kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan kepada golongan yang terkesan kerana peningkatan harga minyak mentah menekan harga barangan untuk naik, yang akan menekan golongan berpendapatan rendah.

“Pengalaman lalu jelas menunjukkan bagaimana harga minyak mentah yang tinggi memberi implikasi kepada isi rumah.

“Ini cukup memberi maklumat kepada kerajaan untuk merangka pelan bantuan yang bersesuaian kepada isi rumah,” katanya.

Mohd Yusof menambah, jangkaan harga minyak mentah dunia yang kekal tinggi tahun depan akan menyaksikan kerajaan dijangka menetapkan harga purata lebih tinggi dalam Belanjawan 2022 yang akan diumumkan hujung bulan ini.

“Pada pandangan saya, sudah pasti harga minyak dunia tahun depan lebih tinggi berbanding tahun ini. Unjuran oleh kebanyakan agensi antarabangsa menunjukkan kedudukan ekonomi pada 2022 lebih baik berbanding 2021.

“Bersandarkan unjuran ini dan dengan mengambil kira pemulihan ekonomi global, menetapkan sasaran harga purata minyak mentah lebih tinggi untuk 2022 adalah satu tindakan yang wajar,” katanya.

Harga minyak mentah Brent melonjak tiga peratus minggu lalu kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun sebanyak AS$84.86 setong pada Jumaat berbanding AS$82.39 setong minggu sebelumnya.

Momentum kenaikan harga minyak mentah Brent bermula pada 20 Ogos lalu iaitu AS$64.85 setong sebelum melonjak melepasi AS$77.35 yang dicatatkan 5 Julai pada 27 September lalu dan melepasi AS$80 buat pertama kali sejak Oktober 2018 pada bulan ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak mentah disumbangkan oleh peningkatan permintaan pada peringkat global berikutan pemulihan ekonomi yang semakin konsisten.

Malah, katanya situasi seperti kekurangan pelaburan kapasiti pengeluaran minyak turut memburukkan keadaan sehingga menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran minyak.

“Spekulator juga akan sentiasa mengambil kesempatan ke atas situasi ini apabila banyak kontrak belian dalam pasaran hadapan minyak mentah. Kesannya adalah terhadap tekanan inflasi global dan prospek kenaikan kadar faedah.

“Bagi Malaysia, harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi bakal memanfaatkan sektor minyak dan gas. Tidak kurang juga kesan positif terhadap hasil kerajaan berkaitan sektor petroleum yang menyumbang sekitar satu perlima daripada jumlah hasil Persekutuan.

“Namun, kesan kepada orang ramai iaitu dari sudut kenaikan harga minyak petrol adalah terhad berikutan pemberian subsidi minyak oleh kerajaan,” katanya.

MIDF Research pula menjangkakan harga minyak mentah tinggi sehingga ke akhir tahun disokong langkah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mengekalkan jadual penambahan pengeluaran sedia ada walaupun permintaan semakin meningkat.

Ia berkata, jangkaan harga kekal tinggi melepasi AS$80 setong itu juga dipacu peralihan penggunaan minyak mentah dari negara yang bergantung kepada gas asli susulan lonjakan ketara bahan bakar itu.

“Justeru, wujud kemungkinan harga minyak mentah terus berada di atas AS$80 setong sehingga tahun depan. Paras tinggi harga minyak mentah yang berterusan akan menggantikan kerugian disebabkan penurunan harga minyak tahun lalu,” katanya.

MIDF Research berkata, persekitaran harga minyak tinggi memberi kesan positif kepada kewangan kerajaan dari segi peningkatan hasil, namun ia akan disederhanakan oleh subsidi.

Buat jangka pendek, ia menegaskan bahawa penggunaan masih terkawal kerana negara baru saja bermula untuk meningkatkan aktiviti ekonomi selepas Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berpanjangan.

“Kami juga menjangka ringgit akan mendapat perhatian positif dan dapat melihat pengukuhan nilai mata wang tempatan itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Dari sudut rakyat, selagi kerajaan mengekalkan harga siling RON95, kami berpendapat kesan peningkatan harga minyak mentah adalah tidak begitu ketara.

“Malah, mungkin terdapat sedikit kesan positif jika aktiviti daripada sektor minyak dan gas terus meningkat,” katanya. BH

Kenaikan harga minyak untungkan negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ieda Moin rimas jadi tempat pelepas nafsu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker