SINGAPURA: Satu tinjauan mendapati hampir 60 peratus wanita di negara ini mengalami fungsi seksual yang rendah.
Dapatan itu diperoleh daripada kajian yang pertama kali dilakukan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) di Singapura.
Kajian itu turut memberi petunjuk golongan wanita berkenaan berisiko mengalami disfungsi seksual.
Menurut hospital, golongan wanita itu juga lebih sukar untuk hamil, sekali gus mengambil masa yang lebih lama untuk mengandung serta melahirkan anak.
Kajian yang dilakukan pada Jun lalu itu meliputi lebih 500 wanita di Singapura membabitkan kumpulan usia antara 18 hingga 45 tahun dan mencuba untuk hamil dalam tempoh setahun.
Golongan tersebut diarahkan untuk menilai pengalaman seksual peribadi mereka dalam enam aspek termasuk tahap keinginan dan kepuasan.
Setiap soalan dinilai dengan memberikan skor dari sifar hingga lima yang mana jumlah skor keseluruhan diperoleh antara dua hingga 30.
Pasukan penyelidik berkata, wanita yang mencatatkan jumlah skor pada atau dibawah nilai median 22 dikatakan mempunyai fungsi seksual yang rendah dan berisiko mengalami disfungsi seksual.
Hasil kajian mendedahkan sebanyak 58.6 peratus wanita Asia di Singapura menunjukkan skor kurang daripada 22.
Sebagai sebahagian daripada kajian berkenaan, beberapa maklumat peribadi wanita antaranya umur, etnik, status perkahwinan, sejarah kehamilan, tabiat gaya hidup serta penilaian aktiviti fizikal dan kesihatan mental turut diambil.
Golongan wanita itu kemudiannya diberi ujian kehamilan di rumah dan membuat pemeriksaan susulan hingga setahun ketika mereka cuba untuk hamil.
Kajian itu mendapati mereka yang mempunyai fungsi seksual rendah menyaksikan peluang untuk hamil dalam setahun menurun sebanyak 27 peratus. – AGENSI
60 peratus wanita Singapura kurang nafsu seks
You must be logged in to post a comment.