Imigresen gempur sindiket pemalsuan dokumen

SHAH ALAM – Berani menanggung risiko biarpun sedar akibat yang menanti tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Itu antara tindakan nekad sindiket pemalsuan dokumen melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia yang saban hari dilihat seolah-olah memandang enteng dengan undang-undang negara.

Sindiket ini melakukan jenayah pemalsuan dokumen Imigresen seolah-olah tiada pemantauan dilakukan pihak berkuasa, meskipun tangkapan serta serbuan saban hari dilaksanakan pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen Malaysia.

Menjelaskan secara lanjut mengenai kegiatan sindiket pemalsuan dokumen, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, secara bahasanya, sindiket memalsukan dokumen keselamatan Jabatan Imigresen Malaysia, agensi kerajaan Malaysia atau kerajaan asing adalah untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sindiket menjalankan aktiviti antaranya melibatkan pemalsuan cap-cap keselamatan pintu masuk, pelekat keselamatan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan sebagainya

“Selain itu, sindiket ini juga turut dikesan memalsukan surat-surat kelulusan seperti kelulusan kuota pekerja asing untuk menyokong aktiviti pemalsuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi wawancara khas Sinar Harian di Ibu Pejabat Imigresen pada Rabu.

 

DIDALANGI WARGA ASING

Sebut sahaja pemalsuan, pastinya ramai di antara kita menyangka sindiket ini pastinya didalangi warga tempatan.

Begitupun, jangan terkejut sekiranya sebahagian besar kes pemalsuan dokumen yang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia ini dalangnya merupakan warga asing itu sendiri.

Pemalsuan dokumen turut melibatkan passport dan pelbagai dokumen lain.
Pemalsuan dokumen turut melibatkan passport dan pelbagai dokumen lain.

 

Perkara itu disahkan oleh Khairul Dzaimee apabila kebanyakan mereka yang ditahan adalah warga asing yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen ini.

“Siasatan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mendapati warga Myanmar dan Bangladesh antara tertinggi yang dikesan terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen ini.

“Penglibatan tertinggi individu dari dua negara ini dalam sindiket pemalsuan dokumen ini disebabkan jumlah warga asing dari kedua-dua negara ini antara yang tertinggi dicatatkan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan suspek yang terlibat dalam sindiket ini merupakan warga asing yang telah menetap di negara ini dalam tempoh yang agak lama.

Kaedah penjualan dokumen yang telah dipalsukan tidak diserahkan secara terus kepada pelanggan.
Kaedah penjualan dokumen yang telah dipalsukan tidak diserahkan secara terus kepada pelanggan.

 

“Berbekalkan pengalaman yang ada, mereka mempelajari selok belok berkaitan dokumen imigresen dan dengan pengetahuan mengenai teknologi, mereka ini kemudiannya menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen ini.

“Pelanggan sindiket ini pula dikesan memasuki negara menerusi pas melancong. Apabila sudah lama di sini dan pas mereka telah tamat tempoh serta mendapati ada perkhidmatan untuk palsukan dokumen yang dilakukan oleh warga mereka sendiri jadi mereka sanggup bayar dengan kadar tertentu untuk terus berada di negara ini,” katanya.

Menurutnya, dari segi ahli sindiket pula, siasatan mendapati mereka ini mempunyai dokumen yang sah untuk berada di negara ini.

“Kebanyakan ahli sindiket tidak tinggal di negara ini secara haram, sebaliknya mereka mempunyai pas yang sah.

“Jadi dengan pengalaman dan selok belok yang mereka perolehi, tanpa memikirkan kesan jangka panjang mereka jalankan kegiatan ini dan jadikannya sebagai satu perniagaan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket pemalsuan ini dikesan mempunyai rangkaian kerja yang sangat teratur.

“Menerusi siasatan yang dijalankan sindiket mempunyai ketua sindiket, individu yang berkemahiran untuk mencetak dan ‘runner’ untuk mendapatkan pelanggan serta menyerahkan dokumen yang dihasilkan.

“Kelicikan sindiket ini beroperasi turut memperlihatkan mereka seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

PELBAGAI TAKTIK PROMOSI

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee mendedahkan sindiket ini menggunakan pelbagai taktik untuk mempromosikan perkhidmatan mereka termasuk menerusi platform media sosial.

“Antara kaedah digunakan seperti melalui aplikasi Wechat, WhatsApp dan Facebook selain kaedah mulut ke mulut dalam kalangan warga asing yang pernah menggunakan khidmat mereka.

“Pelanggan pula terdiri daripada mereka yang tinggal lebih masa di negara ini dan ingin membuat pas palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kaedah penjualan dokumen yang telah dipalsukan tidak diserahkan secara terus kepada pelanggan sebaliknya mereka akan berhubung menerusi panggilan telefon atau aplikasi lain seperti WhatsApp.

“Sebagai contoh, sekiranya sindiket itu beroperasi di Sungai Besi, pelanggan tidak akan datang terus ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan dokumen terbabit.

“Mereka sebaliknya akan berjumpa di tempat-tempat tertentu dan bayaran akan dibuat secara dalam talian,” katanya.

TAK BOLEH BOLOS SISTEM IMIGRESEN

Pemalsuan dokumen ini bagaimana boleh dikesan dengan melakukan pemeriksaan yang teliti ke atas dokumen terbabit kata Khairul Dzaimee.

Menurutnya, pihak Imigresen boleh membezakan sama ada satu-satu dokumen itu adalah tulen atau yang telah diciplak dan salah satunya adalah daripada kualiti kertas yang digunakan.

“Selain itu, kita juga akan menyemak dalam sistem sedia ada, dokumen palsu sememangnya tiada mempunyai sebarang rekod dalam sistem Imigresen,” katanya.

Jelasnya, Imigresen juga turut mendapati terdapat dakwaan berhubung kesukaran untuk mendapatkan dokumen Imigresen seperti Pas Lawatan Kerja Sementara(PLKS) yang dikatakan menjadi faktor berlakunya pemalsuan dokumen ini.

Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan pelbagai dokumen palsu dirampas menerusi serbuan yang dijalankan.
Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan pelbagai dokumen palsu dirampas menerusi serbuan yang dijalankan.

 

“Sebenarnya tiada isu di sini dan berdasarkan siasatan, pelanggan terdiri daripada warga asing ini masuk secara sah dengan menggunakan pas melancong bagaimanapun mereka bekerja dengan cara tidak sah.

“Jadi untuk menunjukkan apa yang dilakukan itu adalah sah, mereka mendapatkan khidmat sindiket dengan membuat PLKS palsu walaupun dengan harga yang agak tinggi antara RM350 ke RM500,” katanya.

Menceritakan antara kes pemalsuan dokumen yang berjaya ditumpaskan pihaknya, beliau berkata ada kes yang mana dalang utama sindiket berkenaan adalah warga Myanmar.

“Operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan selama empat bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia.

“Suspek diberkas ketika menunggu pelanggan di dalam kereta di belakang sebuah bangunan di kawasan Kota Raya dan susulan penangkapan itu telah membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan yang dijadikan lokasi mencetak serta mengeluarkan pelbagai dokumen palsu,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyewa dua unit kondominium mewah bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Satu unit dijadikan sebagai kediaman sementara satu lagi dijadikan markas untuk kegiatan mereka.

“Siasatan dijalankan turut mendapati suspek melakukan kegiatan ini secara bersendirian sejak empat tahun lalu dan menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Viver, WeChat dan Telegram sebagai medium untuk mencari pelanggan,” jelasnya.

Menurutnya, sindiket ini menyasarkan pelanggan terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh.

“Selain mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu, suspek juga menghasilkan dokumen palsu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 hingga RM1,000 bagi Pas Lawatan Kerja Sementara, i-kad (RM100), pakej cap keluar atau masuk pelbagai negara (RM200), pasport pelbagai negara (RM500), kad UNHCR (RM100), sijil kelahiran serta sijil perkahwinan Myanmar (RM100) dan lesen memandu antarabangsa (RM100),” katanya.

Jelasnya, hasil serbuan turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan kesemua dokumen palsu terbabit.

“Antara yang ditemui ialah komputer, mesin pencetak, mesin laminate, papan pemotong, mesin pengimbas dan beberapa peralatan lain.

“Selain itu, pelbagai dokumen palsu turut ditemui antaranya, i-kad, kad UNHCR, pasport beberapa negara, sijil kelahiran dan perkahwinan Myanmar selain wang tunai RM15,300, sebuah kereta jenis Honda dan motosikal jenis Yamaha,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut menumpaskan sindiket penggodaman Sistem Myimms dan sindiket penjualan pelekat PLKS pada suku kedua 2021.

Taktik promosi sindiket ini menggunakan pelbagai cara termasuk menerusi media sosial.
Taktik promosi sindiket ini menggunakan pelbagai cara termasuk menerusi media sosial.

 

“Pada 19 Februari lalu, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama SPRM menjalankan operasi bersama dan berjaya melumpuhkan sindiket penjualan pelekat PLKS dan setem hasil kerajaan yang mana sindiket ini mengenakan caj jualan PLKS antara RM700 hingga RM800 setiap satu.

“Pada 6 April lalu, operasi bersama antara Jabatan Imigresen Malaysia dan SPRM juga berjaya menumpaskan sindiket penjualan pelekat PLKS dan penggodaman sistem Myimms yang mengakibatkan kerugian hasil levi sebanyak RM47 juta melibatkan 21,378 pelekat palsu,” katanya.

Beliau berkata, kes ini merupakan antara kejayaan terbesar pihaknya dalam menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen.

“Kalau kita lihat, suspek menggunakan pelbagai helah antaranya sanggup menyewa dua unit kondominium semata-mata bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Namun, dengan risikan selama hampir berbulan dilaksanakan, kita berjaya menumpaskan sindiket ini,” ujarnya.

KERJASAMA ANTARA AGENSI

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan agensi yang lain dan pada masa sama menjalankan risikan serta siasatan bagi membanteras sindiket pemalsuan dokumen.

“Imigresen turut bekerjasama dengan agensi lain seperti polis dan juga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dalam usaha mengekang aktiviti ini.

“Kita turut menjalankan beberapa operasi khas yang memfokuskan sindiket pemalsuan dokumen ini, di mana risikan dan siasatan dijalankan secara terperinci sebelum sindiket ditumpaskan,” katanya.

Justeru beliau turut meminta orang ramai untuk memberi sebarang maklumat sekiranya mempunyai info berkaitan sindiket pemalsuan dokumen ini.

“Kita harus ingat pemalsuan dokumen ini akan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada negara disebabkan kutipan levi tidak dapat dilakukan.

“Jadi saya minta masyarakat, jangan risau untuk memberi maklumat kerana setiap pemberi maklumat, pihak Imigresen akan menjaga identiti mereka,” katanya.

Khairul Dzaimee menjelaskan semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan aktiviti pemalsuan dokumen ini dapat dibendung.

“Majikan misalnya perlu memastikan pas pekerja yang dimiliki setiap pekerja mereka merupakan pas yang sah. Bagi saya tiada alasan sekiranya majikan mendakwa tidak tahu pas yang digunakan pekerja mereka itu adalah pas palsu.

“Majikan dalam soal ini perlu bertanggungjawab dan tahu pekerja-pekerja mereka ini mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja,” katanya.

NIISE GANTI SISTEM SEDIA ADA

Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan pihaknya sedang membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meningkatkan keupayaan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuka tawaran tender kepada beberapa syarikat untuk membangunkan sistem baharu itu untuk Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurutnya, beliau yakin NIISE akan meningkatkan lagi kecekapan Imigresen apabila ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Kita akui kelemahan sistem sedia ada dalam mengenal pasti pergerakan keluar warga asing, justeru kita akan pertingkatkan sistem dengan membangunkan NIISE.

“NIISE itu nanti bukan sahaja akan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing malah mampu mengesan mereka yang tinggal di negara ini melebihi tempoh,” jelasnya.

INFO

Antara kes yang direkodkan

– 22 Ogos 2020

KUALA LUMPUR – Dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh tumpas selepas 11 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam serbuan berasingan di ibu negara.

Serbuan sepasukan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa dan Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Putrajaya bermula jam 10 malam itu di sebuah rumah di Danau Desa berjaya menahan lapan individu termasuk dua warga Bangladesh disyaki dalang sindiket.

– 28 Oktober 2020

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia yang aktif di sekitar Lembah Klang, menyaksikan penahanan 33 rakyat negara itu dalam lima serbuan di Klang, Selangor dan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md Isa berkata, antara warga Indonesia yang ditahan termasuk tiga lelaki dalang sindiket berumur lingkungan 38 hingga 41 tahun, seorang lelaki yang berperanan sebagai runner berumur 25 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.

– 19 Februari 2021

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan tujuh lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen imigresen dalam serbuan Ops Sticker.

Kesemua anggota sindiket berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Ahad lepas hasil beberapa siri operasi dijalankan secara bersepadu antara Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

– 7 April 2021

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesan 21,378 warga asing yang disyaki memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan oleh sindiket yang menggodam pangkalan data jabatan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang memegang pas palsu itu disyaki terlibat dalam sektor perkilangan, perladangan dan perkhidmatan.

– 18 Jun 2021

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa serta menahan dua warga Bangladesh yang mendalanginya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lelaki yang ditahan itu berumur 38 dan 53 tahun, yang seorang daripadanya merupakan individu yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri itu pada Mac lalu (2021).

Imigresen gempur sindiket pemalsuan dokumen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Osman Sapian dibedah untuk dibuang darah beku

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker