Pentauliahan elak penipuan dalam ilmu agama

 

SHAH ALAM – Penceramah agama perlu mendapat pentauliahan daripada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam negeri bagi mengelakkan penipuan dalam menyampaikan ilmu khususnya melibatkan akidah dan ibadah.

Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dr Ishak Suliaman berkata, pada zaman teknologi maklumat ini, ramai mengaku ustaz atau disebut ustaz jadian yang muncul di media sosial.

“Kebanyakan kita gemar merujuk kepda Google dan YouTube untuk mendapatkan maklumat dengan cepat. Apakah kita melakukan semakan atau pencerahan sebelum menerima maklumat tersebut?

“Warga netizen perlu mengubah sikap bermudah-mudahan dalam menerima ilmu dan maklumat di media sosial, terutama berkaitan agama dan ibadah yang menjadi harian kita. Apabila sangsi, kita perlu bertanya kepada orang yang pakar.”

Beliau berkata demikian selepas selesai rakaman program Wacana Al-Quran bertajuk “Hadis hanya sangkaan: Benarkah?” di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, pada 13 Oktober lalu.

Wacana Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Sinar Harian menjadi platform untuk merungkai pelbagai isu bersama pakar dan ilmuwan di bidang masing-masing dengan berpandukan al-Quran dan Hadis.

Ditanya mengenai isu hadis hanya sangkaan yang pernah diviralkan di media sosial sebelum ini, Ishak berkata, maklumat yang kurang tepat boleh menggugat kefahaman masyarakat, terutamanya mereka yang tidak belajar mengenai ilmu hadis dan sejarah para sahabat Rasulullah SAW.

“Orang yang menipu atau scammer bukan sahaja berlaku kepada golongan berduit, tetapi penipuan ilmu dan maklumat. Inilah yang membimbangkan kita. Oleh itu, kita dan keluarga jangan terlalu taksub kepada individu tertentu.

“Ada juga orang berduit menggunakan ustaz untuk kepentingan peribadi. Timbul isu apabila ditanya “ustaz kamu cakap apa?” Kesannya, Ilmu yang cacamarba menyebabkan masyarakat menjadi bingung dan kerana tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mendapatkan ilmu.”

Beliau memuji usaha pihak yang menerbitkan al-Quran terjemahan bersama hadis dan setiap pencetak bahan agama ada panelis bertauliah. Ia penting bagi pengukuhan kefahaman agama.

“Inisiatif tersebut perlu diperluaskan dan diberi penelitian supaya dapat al-Quran terjemahan yang betu. Di Malaysia ada Lajnah Tahqiq Hadith, Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Mufti di Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebagai tempat rujukan,” katanya.

Sementara itu, rakan panelis Wacana Al-Quran, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, ilmu Hadis adalah di antara ilmu yang menjadi tunjang utama dalam pembangunan kefahaman dan Syariah Islam.

“Syariat dan perundangan dalam Islam bukan sahaja dibangunkan berdasarkan panduan dari wahyu al-Quran, tetapi melalui hadis-hadis Nabi juga. Rasulullah memberikan penerangan mengenai maksud al-Quran disamping memberikan bimbingan mengenai kefahaman yang benar mengenai al-Quran.”

Beliau yang Pengacara dan Penyelidik My #HadithTime, antara kepentingan ilmu hadis dalam al-Quran. Ketika turunnya al-Quran, sebahagian sahabat tidak jelas tentang maksud sesuatu ayat, lalu Rasulullah tampil menjelaskan maksud ayat melalui hadis Baginda.

“Ilmu Hadis adalah sebahagian elemen paling utama dalam perundangan Islam. Banyak perkara yang melibatkan hukum hakam tidak disebutkan secara terperinci dalam al-Quran, tetapi hadis datang memberikan penjelasan.

“Sebagai contoh kaedah menunaikan solat. Arahan ALLAH dalam al-Quran memerintahkan kita menunaikan solat, tetapi tidak dinyatakan bagaimana kaedah sujud dan sebagainya, Lalu perkara ini dijelaskan dalam hadis Nabi.

“Ilmu Hadis mendidik masyarakat menapis maklumat yang datang. Proses dalam penilaian status hadis yang sahih dan daif melatih penuntut membiasakan diri dengan menapis maklumat yang sampai kepada kita,” katanya.

Orang ramai dijemput menonton Wacana Al-Quran bertajuk “Hadis hanya sangkaan: Benarkah?” yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian, Wacana Al-Quran dan Sinar Online pada pukul 5.30 petang, 15 Oktober 2021.

Pentauliahan elak penipuan dalam ilmu agama


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PAC tak puas hati – prestasi Amanah Raya tidak memuaskan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker