Janji Menteri, DBKL belum sempurna

KUALA LUMPUR – Janji Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam tempoh 24 jam nampaknya belum dapat disempurnakan dengan sepenuhnya.

Berdasarkan hasil tinjauan dilakukan Sinar Harian di dua lokasi mendapati satu kerosakan jalan telah dibaiki manakala satu lagi aduan belum diambil tindakan.

Laporan yang dibuat pada Isnin lalu melibatkan lokasi di hadapan Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar dan di Jalan Pahang berhampiran Hospital Kuala Lumpur.

Aduan sekitar jam 9 pagi itu dihantar menerusi WhatsApp kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sekitar jam 9 pagi.

Bagaimanapun mesej yang dihantar itu tidak mendapat respon menyebabkan wartawan Sinar Harian turun semula ke lokasi pada Rabu untuk melihat perkembangan aduan terbabit.

Hasil tinjauan mendapati jalan berlubang di hadapan Masjid Al-Hidayah Sentul Pasar telah pun dibaiki dengan turapan namun tiada tindakan pembaikan dilaksanakan di Jalan Pahang berhampiran Hospital Kuala Lumpur setakat Rabu.

 

Keadaan jalan berlubang di hadapan Masjid Al-Hidayah pada Isnin. Gambar kanan: Jalan berlubang di hadapan Masjid Al-Hidayah yang telah diambil tindakan.
Keadaan jalan berlubang di hadapan Masjid Al-Hidayah pada Isnin. Gambar kanan: Jalan berlubang di hadapan Masjid Al-Hidayah yang telah diambil tindakan.

 

Menurut seorang penduduk dari Sentul, Mohd Azmi Sahudin, 57, jalan di sepanjang Sentul Pasar kerap mengalami kerosakan namun setiap aduan dibuat akan diambil tindakan.

“Jalan di Sentul Pasar agak teruk keadaannya, ada berlubang, mendap dan tidak rata. Bulan ini sahaja saya lihat sudah dua kali jalan ini dibaiki dan ditampal.

“Harap DBKL boleh fikirkan penyelesaian jangka masa panjang untuk atasi kerosakan berulang ini. Apabila jalan tidak rata dan berlubang, ia mengundang ketidakselesaan dan membahayakan pengguna,” katanya.

Seorang pelajar, M Mathumitha, 18, berkata, kawasan perumahannya di Setapak turut banyak menghadapi masalah jalan rosak namun setiap aduan dibuat kebiasaannya akan diambil tindakan pihak berwajib.

Jelasnya, tindakan segera melibatkan jalan berlubang itu adalah perlu bagi mengelak risiko kepada pengguna khususnya di jalan-jalan utama pusat bandar.

Khamis lalu, Shahidan sewaktu menggulung Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat berjanji laporan jalan rosak yang diterima akan diambil tindakan dalam masa 24 jam.

 

Shahidan
Shahidan

 

Shahidan turut berkongsi nombor telefonnya beserta Jalaluddin dan Mahadi untuk memudahkan warga kota menyalurkan aduan berkenaan.

Dalam pada itu, Shahidan pada Sabtu lalu memaklumkan telefon bimbitnya jammed disebabkan banyak panggilan aduan diterima daripada warga kota selepas beliau mendedahkan nombornya di Parlimen.

“Lebih 1,000 panggilan diterima sehingga pembantu terpaksa ambil alih kerana saya sedang menghadiri sidang Parlimen.

“Saya akan jawab setiap panggilan dan minta mereka SMS (sistem pesanan ringkas) lokasi untuk mengenal pasti jalan-jalan berlubang,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin beliau akan memastikan setiap aduan daripada warga kota akan dilayan dan ditangani.

 

Janji Menteri, DBKL belum sempurna


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jalan berlubang telefon Shahidan, 019-454 5111

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker