Inspektor, lima anggota polis hadapi 35 tuduhan rasuah

Inspektor, lima anggota polis hadapi 35 tuduhan rasuah

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan empat anggota lain-lain pangkat, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Kelima-lima tertuduh yang didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM8,020 mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan terbabit sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Tertuduh pertama, Inspektor Joevian Gubal Michael, 41, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Belud berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,400.

Semua wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di antara 16 November 2016 hingga 17 Disember 2017.

Tertuduh kedua, Sarjan Azizul Ismail, 32, pula berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM900.

Tertuduh yang turut bertugas di IPD Kota Belud menerima suapan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 24 April 2017 hingga 30 Julai 2017.

Tertuduh ketiga, Lans Koperal Hairul Amid, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berhadapan lima pertuduhan, menerima suapan berjumlah RM2,000 ke dalam akaun bank miliknya antara 11 Ogos 2017 hingga 9 Jun 2018.

Tertuduh keempat, Lans Koperal Afizul Azwan Anuar, 29, yang bertugas di IPD Kota Belud, berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM470 antara 13 April hingga 6 Mei 2017.

Manakala tertuduh kelima, Koperal Abdullah Bakir, 44, yang turut bertugas di IPD Kota Belud pula berhadapan 18 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,250 di antara 14 April 2014 hingga 1 Oktober 2015.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Joevian dan Hairul diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 bersama RM4,000 deposit.

Manakala tertuduh kelima pula dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama, namun dengan RM5,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan, selain diperintah tidak mendekati saksi.

Tertuduh kedua pula dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan deposit RM4,000.

Manakala tertuduh keempat, dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama namun dengan RM3,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan.

Hakim Abu Bakar kemudiannya mengarahkan semua tertuduh untuk melaporkan diri sekali dalam dua bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, mereka turut diarahkan untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes kelima-lima tertuduh pada 24 November depan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam bela masing-masing. BH

Inspektor, lima anggota polis hadapi 35 tuduhan rasuah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siang kutip sampah malam jadi perogol

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker