Pesuruhjaya muslim SUHAKAM jelaskan laporan bercanggah dengan Islam

Atas dasar kerap mencetuskan kontroversi dan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah, struktur pentadbiran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) perlu dinilai semula supaya tidak bertentangan dengan peranan asal penubuhannya.

Meskipun buat masa ini SUHAKAM tidak wajar dibubarkan, namun pesuruhjaya dalam suruhanjaya itu perlu dilihat semula kriteria pemilihan mereka.

Bahkan Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar turut menyarankan pemilihan pegawai SUHAKAM mestilah melalui penapisan yang ketat.



Ini kerana, kenyataan hak asasi SUHAKAM yang dikeluarkan ketika ini dilihat tersasar jauh dari yang ditetapkan.

Sebelum ini, SUHAKAM mencetuskan kemarahan ramai apabila mengemukakan syor dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang bertentangan dengan agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi laporan tersebut, SUHAKAM antaranya memperkenalkan perkataan “non-binari” iaitu sebahagian dari pengenalan gender ketiga, yang tidak mempunyai asas dalam agama dan sains, berselindung di sebalik tema pendekatan inklusif terhadap hak untuk kesihatan.

SUHAKAM juga berpendapat bahawa undang-undang negeri berhubung kesalahan murtad bagi umat Islam adalah menyalahi Perlembagaan Persekutuan apabila mereka menyatakan dalam laporan mereka “Sekiranya tidak ada pengecualian yang sah dan klasifikasi rasional, SUHAKAM mendapati bahawa undang-undang murtad bagi negeri-negeri di Malaysia bersifat diskriminatif dan mengganggu kebebasan keluar agama bagi umat Islam.”



Mengulas perkara itu, Dr Rafidah menggesa pesuruhjaya muslim SUHAKAM bertanggungjawab memperjelaskan laporan berkenaan yang bercanggah dengan agama Islam.

“Apabila mereka membuat laporan, tidak boleh sehingga melanggar akta mereka iaitu apa-apa hak asasi yang mereka perjuangkan tidak boleh bersalahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Keduanya, SUHAKAM perlu memahami takrifan diskriminasi itu tidak boleh difahami dalam konteks negara lain.

“Jadi apabila negara kita ada undang-undang syariah yang mengenakan hukuman terhadap kesalahan syariah ia bukan satu bentuk diskriminasi kerana undang-undang itu sudah ada sebelum negara menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.



Beliau turut menegaskan bahawa masalah diskriminasi undang-undang syariah ini adalah takrifan daripada luar.

“Jadi katakan kalau umat Islam keluar Islam ataupun murtad, suatu kesalahan besar dan ada hukuman, maka kita tidak boleh meraikan kebebasan agama seperti mana masyarakat luar memahaminya,” katanya.

Pesuruhjaya muslim SUHAKAM jelaskan laporan bercanggah dengan Islam


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Populasi dewasa lengkap vaksin di Malaysia cecah 90%



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker