Tawarkan skim bersara awal, cuti tahunan kepada guru enggan vaksin

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) memperhalusi cadangan untuk menukar guru-guru yang enggan menerima vaksin ke sekolah atau negeri lain.

Jika dilaksanakan, ia diyakini tidak dapat menyelesaikan masalah secara praktikal, malah lebih membimbangkan timbul pula isu baru.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, meskipun jumlah guru yang tidak mahu divaksin kecil tetapi setelah diselidik, pihaknya mendapati perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Sebelum ini, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka tetapi kena hadir ke sekolah dan akan ditempatkan di tempat khas dan ada tugasan untuk mereka.

“Namun, apabila kita lihat data, kita dapati di sekolah tertentu ada guru yang tidak mahu divaksin mengajar subjek yang sama, jadi macam mana nak teruskan pembelajaran dalam konteks ini?,” katanya.

Difahamkan, bilangan guru-guru yang enggan divaksinasi telah menurun dari angka 2,500 ke sekitar 2,000 sahaja selepas menjalani beberapa proses kaunseling dari pelbagai pihak.

Berikutan itu, Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menyarankan, pihak KPM meneruskan usaha memberikan kaunseling dengan melibatkan pelbagai pihak khususnya agamawan dan pakar kesihatan bagi memastikan guru tersebut bersedia menerima vaksin buat masa ini.

“Kita sedar ada isu yang berbangkit jika ada seorang guru di dalam satu subjek menolak vaksin ini akan menjejaskan pengajaran. Jika dua orang guru yang mengajar subjek tersebut menolak sudah pasti akan terjejas pengajaran kepada para pelajar.

“Antara opsyen yang boleh difikirkan ialah menawarkan skim bersara awal kepada guru terbabit serta memberikan cuti tahunan kepada mereka dan digantikan dengan guru kontrak atau sambilan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Biarpun begitu, beliau berpendapat, cadangan memindah guru tersebut boleh dilaksanakan dengan syarat guru yang enggan divaksin itu diberikan masa secukupnya untuk bersedia mereka suntikan vaksin.

“Selepas itu boleh pindahkan jika ada pertukaran suka sama suka bagi mengatasi guru duka lara dengan syarat pertukaran tersebut tidak menjejaskan subjek. KPM pula perlu menyediakan bidang tugas yang bersesuaian dengan guru tersebut jika ingin meneruskan tugas sebagai guru.

“Jika enggan mahu bertukar maka tindakan tatatertib perlu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan pekeliling sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Azizee yakin punca guru enggan mengambil vaksin disebabkan faktor kesihatan, takut mati dan ada yang terpengaruh dengan golongan antivaksin.

“Justeru, perlu kenal pasti masalah dan cari kaedah penyelesaian yang berhikmah malah sebarang tindakan perlu berhati-hati dan selari dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM dan JPA berhubung tindakan tatatertib kepada penjawat awam.

“Keutamaan keselamatan murid dan warga sekolah perlu diletakkan keutamaan,” katanya

Tawarkan skim bersara awal, cuti tahunan kepada guru enggan vaksin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker