KPM kaji sesi sekolah bermula Mac selepas ini

KPM kaji sesi sekolah bermula Mac selepas ini

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji kesesuaian untuk menukar permulaan sesi persekolahan daripada Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun depan sebagai panduan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kajian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai kelebihan dan maklum balas positif diterima daripada pemegang taruh, termasuk dapat mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember yang bertembung dengan musim tengkujuh.



“Permulaan sesi persekolahan pada Mac ada banyak kelebihan, jadi ia satu tindakan yang baik apabila kita lanjutkan sesi persekolahan (2021) sehingga awal tahun depan.

“Kini, kita sedang teliti apakah kita akan teruskan sesi persekolahan baharu pada Mac atau kembali seperti asal (bermula Januari untuk sesi persekolahan 2023 dan seterusnya),” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut kelebihan memulakan sesi persekolahan pada Mac, beliau berkata, bagi negeri di Pantai Timur yang terbabit dengan monsun, SPM dalam musim tengkujuh amat memenatkan dan mengundang tekanan bukan sahaja bagi guru, malah ibu bapa juga terkesan apabila peperiksaan terpaksa dilaksanakan ketika banjir.

“Apabila SPM 2020 kita laksanakan pada Februari lalu, maklum balas yang diterima jauh lebih baik kerana fokus mereka (calon) dapat ditumpukan sepenuhnya kepada peperiksaan.



“Mereka tak perlu fikir soal nak ambil bot (untuk ke sekolah sebab banjir) atau nak pindah ke pusat (peperiksaan) mana dan sebagainya. Justeru, kita sedang teliti permulaan sesi persekolahan pada Mac untuk diteruskan ke tahun-tahun berikutnya kerana ada banyak kelebihan,” katanya.

Baru-baru ini, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk 2021 dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, manakala sesi persekolahan bagi 2022 akan bermula Mac.

Selain itu, Radzi berkata apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini.

“(Jika peperiksaan SPM Februari/Mac) Keputusan (SPM) akan keluar (umum) Mei atau Jun dan selepas itu terus masuk ke universiti. Maksudnya, tak perlu tunggu lama (untuk masuk universiti).



“Kalau dulu (peperiksaan SPM November/Disember), mereka (pelajar) terpaksa menunggu tujuh hingga lapan bulan sebelum masuk universiti dan ini sedikit menyulitkan,” katanya.

Ditanya mengenai rasional melanjutkan takwim persekolahan 2021 sehingga tahun depan, beliau berkata secara umumnya kebanyakan guru hampir menghabiskan silibus dengan puratanya 30 peratus lagi belum selesai.

Radzi berkata, dengan melanjutkan sesi sekolah sehingga Januari atau Februari tahun depan, ia memberi ruang untuk guru melihat penguasaan anak murid dan sejauh mana kedudukan mereka supaya keperluan bantuan, intervensi atau pendekatan berbeza dapat digunakan dalam ruang itu.

“Kita mahukan apabila naik ke kelas berikutnya, mereka (murid) betul-betul bersedia. Kita perlu ingat mereka terkesan dua tahun dan tempoh (lanjutan) ini akan digunakan untuk melihat sejauh mana penguasaan sebenar untuk ditentukan keperluan intervensi terbaik supaya mereka benar-benar bersedia.



“Kalau murid sudah capai tahap penguasaan yang baik, guru boleh melihat bagaimana nak ‘polish’ (gilap) untuk lonjak lagi pencapaian mereka ke tahap berikutnya,” katanya.

Kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik adalah pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar yang melanda Kelantan.

Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.



Pada 2015, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika itu. BH

KPM kaji sesi sekolah bermula Mac selepas ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Saranan buat Syed Saddiq tentang ekuiti bumiputera

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker