Hilangnya ‘suara lantang’ Zaman Khan

KELANTANGAN dan ketegasan Allahyarham bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dalam mengulas sesuatu isu berkaitan jenayah di negara ini menjadikan beliau bukanlah satu nama asing dalam kalangan wartawan tempatan.

Lebih-lebih lagi, pengalaman luasnya dalam kes-kes berprofil tinggi menjadikan Allahyarham tempat rujukan bagi mengulas mengenai kes kes jenayah semasa yang berlaku di negara ini.

Menyingkap sejarah karier Zaman Khan, Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai Kadet Asisten Superintenden Polis (ASP) pada Jun 1962.

Sekitar 1964 sehingga 1972 pula, Zaman Khan telah menjadi Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Grik, Klang dan Georgetown diikuti Ketua Trafik Kuala Lumpur (1972-1973) dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1973).

Beliau kemudiannya meneruskan kariernya sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor pada 1975 sehingga 1978 diikuti Ketua Polis Negeri Sembilan (1978-1980); Ketua Polis Pulau Pinang (1981-1983) dan Ketua Polis Kuala Lumpur (1983-Julai 1986).

Berbekalkan pengalaman luas dalam siasatan, Zaman Khan dilantik Pengarah Kese­lamatan Dalaman dan Ketente­raman Awam Bukit Aman pada Ogos 1986 sehingga 1989 dan kemudiannya menerajui Bahagian Siasatan Jenayah sebagai Pengarah pada 1989 sehingga 1993 sebelum menamatkan kariernya dalam perkhidmatan awam sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada 1994 sehingga 1997.

Sepanjang tempoh perkhidmatan bersama PDRM, Allahyarham begitu terkenal dengan sikapnya yang begitu komited dalam menyelesaikan beberapa siri kes jenayah berprofil tinggi di negara ini.

Antara kes-kes yang pernah dikendalinya iaitu penawanan Menara AIA oleh Tentera Merah Jepun pada 1975 diikuti penangkapan ketua perompak, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin yang akhirnya mati di tali gantung Penjara Pudu pada 1976.

Allahyarham Zaman Khan juga merupakan individu pen­ting yang terlibat secara langsung dalam siasatan membabitkan rompakan di Bank of Tokyo membabitkan kumpulan Geng M-16 pada 1985 selain mengendalikan kes seorang doktor dan juruteknik makmal dijadikan tebusan oleh banduan di Penjara Pudu pada 1986.

Bukan itu sahaja, nama Allahyarham turut menjadi tumpuan apabila terlibat dalam siasatan pembunuhan kejam, perompak dan pengedar dadah paling dikehendaki, Kalimuthu Pakirisamy atau Bentong Kali yang akhirnya ditembak mati di Medan Damansara pada 1993.

Selain, pembunuhan ADUN Batu Talam, Pahang, Datuk Mohd Mazlan Idris oleh pasangan bomoh Mona Fandey, suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu, Juraimi Husin pada 1993.

Pada tahun sama, nama Zaman Khan sekali lagi menjadi sebutan apabila antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang.

Mungkin ramai juga yang mengingati ‘babak’ Zaman Khan berdiri di atas runtuhan dan mendukung seorang bayi, seorang daripada hanya dua mang­sa yang berjaya diselamatkan dalam tragedi 11 Disember 1993 yang menyayat hati itu.

Dalam satu temubual pada tahun 2015, Zaman Khan pernah meluahkan rasa teringin untuk berjumpa dengan bayi yang di­selamatkan oleh beliau ketika kejadian menyayat hati itu sebelum mereka dapat bertemu pada tahun 2016.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan Ketua Polis Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Penjara pada tahun 1997.

Pemergian Allahyarham Zaman Khan, anak kelahiran Kelantan pada usia 81 tahun semalam sudah pasti mengejutkan warga PDRM yang pernah bekerja di bawah kepemimpinannya.

Melalui personaliti, kepimpinan dan jasa yang dicurahkan, pastinya nama Zaman Khan akan sentiasa diingati.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 10.25 pagi semalam. -UTUSAN

Hilangnya ‘suara lantang’ Zaman Khan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jenazah Tan Sri Zaman Khan Selamat Dikebumikan [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker