Had jawatan PM dapat gilap bakat pemimpin baharu
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan sahaja dapat menghapus amalan autokratik malah dapat melahirkan pemimpin baharu khususnya dalam kalangan generasi muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, jika langkah itu diterima semua pihak, negara akan mendapat idea dan nafas baharu apabila kepimpinan bersilih ganti dengan tidak terhad kepada sistem yang lama.
“Perkara ini secara tidak langsung memberi ruang kepada parti politik untuk menyediakan pemimpin pelapis kerana perlu menggantikan Perdana Menteri selepas tempohnya berakhir. Jadi ada pemimpin baharu, maka timbul idea baharu dan corak pemerintah yang berbeza.
“Ia bukan satu perkara baharu malah negara seperti Amerika Syarikat, Filipina dan Indonesia juga menghadkan tempoh jawatan ketua negara kepada dua penggal. Ia dapat menangani budaya autokrasi dan pemerintahan ala dinasti,” katanya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara tujuh tawaran itu adalah pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti serta pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat.
Azmi berkata, walaupun tempoh 10 tahun mungkin tidak cukup bagi seorang Perdana Menteri untuk melaksanakan agenda pembangunan jangka panjangnya tetapi beliau melihat lebih banyak kebaikan bakal diperoleh negara jika jawatan ketua kerajaan itu dihadkan.
Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat, rugi jika pembangkang menolak tawaran Perdana Menteri itu kerana ia mampu mengubah sistem pentadbiran dan masa depan negara.
“Kalau pembangkang tolak, mereka akan rugi dan dianggap bermain politik, orang pun akan marah. Lagi pun, tawaran inilah yang diperjuangkan pembangkang selama ini,” katanya.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, mengehadkan tempoh jawatan dapat menghapuskan budaya kroni jika seorang Perdana Menteri berkuasa lebih lama.
“Langkah ini memberikan kematangan politik baharu dalam negara ini serta menghapuskan kuasa mutlak pemimpin.
“Malah ia bertepatan dengan menurunkan usia pengundi 18 tahun, apabila dapat melahirkan pemimpin muda masa depan untuk memegang jawatan Perdana Menteri selepas tempoh 10 tahun berakhir kelak,” katanya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir menyifatkan tawaran tersebut membuktikan bahawa kerajaan benar-benar mahu melakukan pembaharuan dan pembaikan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Usaha meminda Perlembagaan seharusnya diambil dengan positif. Tiada alasan pembangkang menolak perubahan bukan sahaja kepada sistem pentadbiran tetapi juga masa depan negara, ini juga akan mengubah landskap politik negara,” katanya
Had jawatan PM dapat gilap bakat pemimpin baharu
Baca Artikel Menarik :
- Aksi ngeri pengantin bergambar di tebing curam
- Bencana Gunung Jerai akibat aktiviti khurafat dan pemujaan?
- 10 Akhlak Rasulullah s.a.w. Yang Harus Diteladani
- Cuepacs: Tommy Thomas amat jelik
- Muhyiddin memang fighter, tapi jenis manipulator
- Muhyiddin begitu terdesak – Khaled
- PM yang calonkan nama saya – Ahmad Maslan
- Pembangkang patut terima janji Ismail, letak syarat rencat reformasi
- Dana politik: Saya jadi mangsa Muhyiddin
- Nano mist spray, tak ada guna pun – Dr Izzar
- Resepi Daging Masak Merah Confirm Terliur
Layari Laman Facebook MYKMU