Sanusi guna hujah berdasar kes Liwat 1 Anwar

Sanusi guna hujah berdasar kes Liwat 1 Anwar

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ucapannya semasa berkempen dalam PRU ke-15 lalu berdasarkan rekod awam mengenai kes Liwat 1 Anwar Ibrahim dan perkara lain yang berkaitan moral.

Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah dikemukakan Ahli Parlimen Tambun itu, Sanusi berkata dia bersedia untuk membuktikan di mahkamah kandungan ucapan dibuatnya merujuk kepada kenyataan Mahkamah Persekutuan 2004.

Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Feb lalu – dan dilihat Malaysiakini – Sanusi berkata pembelaan itu membabitkan justifikasi, keistimewaan yang layak, dan ulasan yang adil.

Justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan yang dibuat berdasarkan fakta, dan jika terbukti di mahkamah, ia akan menjadi pembelaan mutlak terhadap tindakan fitnah yang dikenakan.

Keistimewaan yang layak pula ialah pembelaan yang terpakai dalam situasi apabila seseorang itu mempunyai kepentingan, kewajiban undang-undang, tanggungjawab moral atau sosial untuk mengeluarkan sesuatu perkataan.

Ulasan yang adil ialah ialah kenyataan yang disangkal itu dibuat sebagai ulasan yang adil, bukannya kenyataan fakta mengenai isu kepentingan awam.

Sebelum ini Anwar mengemukakan tindakan sivil ekoran atas ucapan Sanusi di kawasan parlimen Tambun pada 13 Nov tahun lepas ketika dia berkempen untuk memenangkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu di situ.

Dalam PRU tersebut Anwar mengetepikan Ahmad Faizal yang juga bekas menteri besar Perak.

Sanusi mendakwa antara fakta yang diketahui umum ialah Anwar dipecat daripada kabinet oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998 kerana isu moral.

Salah faham konteks

Kenyataan Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamed di Mahkamah Persekutuan pada 2004 pula menyatakan “terdapat bukti” untuk mengesahkan Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan panel hakim cenderung untuk mempercayai insiden didakwa berlaku di Tivoli Villa “memang berlaku kadang-kadang”.

Abdul Hamid bagaimanapun berkata mahkamah hanya boleh membuat sabitan jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan didakwa itu melampaui keraguan munasabah.

Anwar sebelum ini mengemukakan permohonan undang-undang untuk meminta mahkamah tertinggi menghapuskan kenyataan itu namun ditolak.

Sanusi juga merujuk kepada sabitan Anwar atas kesalahan salah guna kuasa dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun, yang dikekalkan oleh mahkamah tertinggi negara pada 2002.

Defendan turut merujuk kepada tindakan sivil yang sedang dijalankan oleh bekas pegawai penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual.

Sanusi menambah Anwar tersalah faham konteks ucapannya kerana ia tidak dilakukan kerana niat jahat untuk memfitnah di hadapan khalayak umum sebaliknya sekadar mengkritik perdana menteri terbabit berdasarkan fakta yang diketahui secara meluas.

Defendan mendakwa plaintif sendiri telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti lain sepanjang tempoh kempen PRU ke-15.

“Oleh yang demikian, adalah tidak munasabah dan menghairankan untuk seorang politikus seperti plaintif (Anwar) yang suka menuduh politikus-politkus lain dengan kata-kata seperti “penyamun”, “bodoh” dan pelbagai lagi tiba-tiba sensitif apabila parti lawan memberikan komen dan kritikan berdasarkan latar belakang beliau yang sudah diketahui umum.

“Plaintif tidak seharusnya menjadi seorang yang mudah tersinggung (thin skinned) terutamanya ketika kempen pilihan raya memandangkan plaintif sendiri bersikap suka menuduh,” katanya.

Sementara itu dalam jawapan yang difailkan pada 13 Mac, Anwar mendakwa bukan sahaja sandaran Sanusi terhadap isu Liwat 1 dan tentang pemecatannya sekadar khabar angin, bahkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 telah memadam sepenuhnya sabitan serta hukuman terdahulu.

“Plaintif adalah seorang yang tidak bersalah. Sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara sama adalah bersifat fitnah dan boleh boleh diambil tindakan,” katanya.

Anwar menegaskan rekod jenayah – termasuk penghakiman yang dilaporkan – tidak boleh dikemukakan dalam prosiding mahkamah sivil untuk saman tindakan fitnah yang berlangsung itu kerana ia dilarang oleh Akta Keterangan 1950.

Plaintif juga berhujah Sanusi subjudis apabila cuba membawa masuk tindakan sivil Yusoff ke dalam tindakan undang-undang sekarang.

Di bawah undang-undang, sub judice merujuk kepada perkara yang masih dipengerusikan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh dibawa ke perbincangan umum di tempat lain.

Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Yusfarizal Yussof bertindak bagi pihak Sanusi.

Tindakan sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Isnin depan. Mk

Sanusi guna hujah berdasar kes Liwat 1 Anwar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Uqasha kesal dituduh pembuli zaman sekolah

Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan

Penyondol tak berjaya goda saya – Jalaluddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker