PM ajak semua pihak bulatkan tekad pulihkan negara

PM ajak semua pihak bulatkan tekad pulihkan negara

Perdana Menteri mengajak semua pihak membulatkan tekad untuk bersama-samanya memulihkan negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini belum pernah ditempuhi oleh mana-mana pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

Negara dan rakyat kini berdepan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit serta kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik tanah air serta di seluruh dunia, katanya.

“Justeru, pada sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air kita ini, marilah kita membulat tekad untuk memulihkan negara. Cabaran ini perlu dihadapi bersama kerana belum pernah kita tempuhi sebelum ini,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan ke-64 yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan laman sosial malam ini.

Ismail Sabri yang merupakan Perdana Menteri kesembilan berkata, sempena hari kemerdekaan esok, semua pihak perlu terus berjuang memerangi pandemik Covid-19 yang menjadi musuh paling utama negara.

Kejayaan itu, katanya, akan membolehkan kerajaan membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

Menurut beliau, ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah hanya melalui kerjasama daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan.

“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia segera mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara. Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutama dalam usaha memerangi wabak ini,” katanya.

Pada tarikh keramat ini, beliau mengajak semua pihak berjanji dengannya untuk bersama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

Beliau mahu semua pihak mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

Ini katanya, termasuk kebersamaan tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia.

Ujar beliau, semangat kebersamaan itu yang perlu diwarisi untuk memulih dan membina negara.

“Saya bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tokoh negara yang sangat berjasa ini, yang telah pergi meninggalkan kita.

“Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik Covid-19.

“Marilah kita memerdekakan negara daripada pandemik ini daripada kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri dan seluruh rakyat Malaysia menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas kedaulatan dan kebijaksanaan baginda yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, dengan penuh rasa insaf dan bersyukur, beliau mengajak Keluarga Malaysia menyusur sungai sejarah perjuangan bangsa, mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

“Biar pun ia sering diperkatakan namun lumrah sesuatu yang penting, ia perlu diulang-ulang agar sentiasa terpahat dalam fikiran kita, terutama untuk anak-anak muda.

“Namun, dalam mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini, ia telah menumpahkan air mata, keringat dan darah para pejuang yang bukan sedikit. Bermula dengan runtuhnya kerajaan Melaka di tangan kekuasaan Portugis pada tahun 1511.

“Sejak itu, peta pemerintahan dan kekuasaan kita mula dirobek oleh penjajah Barat. Ratusan perjuangan yang ditandai peperangan, perundingan dan pengorbanan telah mengambil masa selama 446 tahun.

“Ini terpaksa dihadapi demi menggembalikan semula kemerdekaan tanah air dan sepanjang tempoh lebih empat abad ini, tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda,” katanya.

mail.jpg?resize=640%2C442&ssl=1
Ismail Sabri ajak rakyat bulat tekad pulihkan negara
Namun, kata beliau, semangat perjuangan yang tumbuh daripada anak-anak bumi bertuah ini tidak pernah patah atau luntur, malah sentiasa bercambah serta semakin kukuh sepertimana diwarisi kini.

Beliau menamakan antara tokoh besar yang perlu diingati generasi sekarang ialah Datuk Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dato’ Naning, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhoby dan lain-lain.

Katanya, perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

“Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air.

“Nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh semua Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mencapai dan mempertahankan kemerdekaan negara ini,” katanya.

Malah, negara berterima kasih kepada perjuangan dan pengorbanan mereka yang terlibat terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini.

“Saya perlu menyebut beberapa fakta sejarah kerana setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

“Yang paling utama ialah mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” katanya. MG

PM ajak semua pihak bulatkan tekad pulihkan negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib tawar bantuan guaman kepada gadis hilang tangan akibat disamun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker