Mati di lantai hospital, JKN Kedah nafi biarkan sahaja

Mati di lantai hospital, JKN Kedah nafi biarkan sahaja

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo menafikan dakwaan bahawa petugas di wad Covid-19 Hospital Lama Sungai Petani lambat memberi tindak balas dan rawatan kepada seorang pesakit sehingga dia meninggal dunia di lantai wad berkenaan.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai insiden berkenaan dan telah mengadakan perbincangan dengan petugas-petugas terlibat untuk melengkapkan siasatan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai dan jururawat terlibat dan kita sedang sediakan laporan (lengkap)…ya, kejadian berlaku di Hospital Lama Sungai Petani di wad Covid-19 dan memang betul pesakit itu meninggal dunia.

“Tapi (maklumat awal) yang mengatakan tindak balas petugas lambat itu tidak benar, kami akan keluarkan kenyataan lengkap untuk pihak media nanti,” katanya.

Hari ini, satu klip video berdurasi 38 saat tular menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang pesakit lelaki kelihatan lemah dan berada dalam keadaan melutut di lantai hospital dan cuba berpaut pada katil untuk bangun.

Video itu dipotong dan kemudian sambungannya menunjukkan lelaki berkenaan sudah terbaring kaku dengan beg urin masih berada di sebelahnya, manakala seorang pesakit dilihat cuba menghampiri untuk memeriksa mangsa.

Menurut individu yang menularkan video itu, pesakit Covid-19 itu dibiarkan mati tanpa sebarang bantuan daripada petugas di wad berkenaan sehingga dia disahkan sudah meninggal dunia 40 minit kemudian.

Menurut dakwaan individu itu lagi, hampir setengah jam pihak hospital sama ada doktor atau jururawat bertugas tidak mempedulikan pesakit berkenaan dan tidak mengambil tindakan serta-merta.

“Apabila pesakit lain melaporkan kejadian ini kepada jururawat terdekat, jururawat dengan perasaan sambil lewa dan leka memberitahu pelapor tersebut untuk memeriksa sendiri pesakit yang jatuh itu sama ada masih bernyawa ataupun tidak,” dakwa individu tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian berkenaan. FMT

Mati di lantai hospital, JKN Kedah nafi biarkan sahaja


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib tawar bantuan guaman kepada gadis hilang tangan akibat disamun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker