Ibu Jamaludin Jarjis berjaya tuntut 3 juta syer sebagai aset pusaka

Ibu Jamaludin Jarjis berjaya tuntut 3 juta syer sebagai aset pusaka . Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis berjaya dalam satu daripada tiga tuntutannya Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, untuk memasukkan 3 juta saham Syarikat Rantai Wawasan milik bekas ahli Parlimen Rompin itu, sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman Aminah Abdullah, 87, selaku plaintif terhadap dua anak Allahyarham, Nur Anis, 36, dan Ikwan Hafiz, 34, masing-masing selaku defendan pertama dan kedua.

Aminah sebelum ini menuntut dua defendan itu untuk memindah milik saham tiga syarikat kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Bagaimanapun mahkamah menolak dua permohonan iaitu memasukkan saham Syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd ke dalam senarai aset serta liabiliti milik Allahyarham.

Ketika membaca penghakimannya, Mohd Firuz berkata, berdasarkan keterangan tiga saksi, kedua-dua saham Syarikat Alpine Motion dan Ivory Insights Wawasan dibeli untuk defendan pertama dan kedua.

Katanya, pada 2011 dan 2012, kedua-dua defendan terbabit dalam operasi dan pengurusan kedua-dua syarikat berkenaan, di bawah bimbingan Allahyarham.

“Pada tahun 2011 hingga 2012, mereka terlibat dalam operasi serta pengurusan dua syarikat di bawah bimbingan Allahyarham bapa mereka.

“Namun berbeza bagi saham Rantai Wawasan, kerana kedua-dua defendan terbabit dalam pengurusan syarikat selepas Allahyarham meninggal dunia,” katanya.

Dengan keputusan itu, mahkamah memerintahkan defendan-defendan membayar kos RM80,000.

Pada April 2015 lalu, media melaporkan, enam individu termasuk Jamaluddin, terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di kawasan ladang getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru Semenyih petang Sabtu.

12 Februari 2019, Sinar Harian melaporkan, Aminah memfailkan saman terhadap dua cucunya kerana gagal memasukkan saham tiga buah syarikat bernilai RM1.3 bilion dalam senarai aset harta pusaka Allahyarham.

Syarikat-syarikat itu ialah Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah, mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal memasukkan ke dalam senarai aset dan liabiliti harta Jamaludin (si mati) iaitu 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan, 6,000,000 saham dalam syarikat Alpine Motion dan dua saham dalam syarikat Ivory Insights Wawasan.

Plaintif mendakwa, beliau sebagai ibu kandung yang sah dan waris kepada Jamaludin, mempunyai kepentingan dalam harta pusaka.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun dan merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Ibu Jamaludin Jarjis berjaya tuntut 3 juta syer sebagai aset pusaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker