Tuduhan ada ‘Langkah Seri Pacifik’ adalah fitnah besar

Langkah Seri Pacifik? Saya cabar kemuka bukti, jangan fitnah. Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mencabar mana-mana pihak yang mendakwa wujudnya gerakan politik dipanggil ‘Langkah Seri Pacific’ bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tampil mengemukakan bukti.Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, pihak tidak bertanggungjawab itu tidak boleh sewenang-wenangnya memfitnah kumpulan tertentu yang mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa mana-mana pihak tampil mengemukakan bukti siapa ahli Parlimen yang ‘dibeli’ atau ‘kena beli’ dan bukan sekadar bermain ‘teka-teki’.

“Biarlah mereka (ahli-ahli Parlimen UMNO cenderung PN) hendak bermesyuarat dan bincang apa pun, dekat mana pun. Sama ada mereka hendak bincang perkara kebaikan atau keburukan, itu tanggungjawab mereka.

“Yang mereka ini (pihak tidak bertanggungjawab) hendak sangat ambil tahu masalah orang lain kenapa? Perangai buat fitnah sebegini adalah tidak senonoh. Pihak tidak bertanggungjawab ini ada buktikah? Saya cabar mereka tunjukkan bukti siapa dibeli dan siapa yang membeli (ahli parlimen UMNO dan pembangkang). Jangan main teka-teka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan spekulasi wujud gerakan politik oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan PN sedang giat dijalankan bagi tujuan mengumpul sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan pembangkang seakan-akan ‘Langkah Sheraton’.

Gerakan politik dipanggil ‘Langkah Seri Pacific’ itu juga dipercayai bertujuan mendapatkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi mengekalkan kerajaan PN.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan satu pertemuan di antara ahli-ahli Parlimen BN menyokong kerajaan PN sememangnya berlaku di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Enggan mendedahkan siapa yang hadir, bekas Setiausaha Agung BN itu sebaliknya menjelaskan pertemuan itu sekadar perjumpaan biasa ahli-ahli Parlimen berkenaan untuk berbincang dan berkongsi maklumat sesama mereka.

“Betul kami ada jumpa tetapi bukan hendak beli ahli Parlimen (UMNO dan pembangkang).

“Kami cuma adakan pertemuan untuk bertukar maklumat. Kalau hendak ambil duit, kerja bodoh kumpul ramai-ramai,” ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Mohamed Nazri sekali lagi menafikan terdapat usaha dalam kalangan ahli-ahli Parlimen BN menyokong PN bagi menggerakkan ‘Langkah Seri Pacific’ sebagaimana didakwa.

Secara berseloroh, beliau turut menyindir pihak pembangkang dengan mengatakan kumpulan ahli Parlimen BN berkenaan sedang menunggu pimpinan blok pembangkang untuk ‘membeli’ mereka secara pukal.

“Mana ada ‘Langkah Seri Pacific’. Tetapi sebab pembangkang hendak sangat jadi Perdana Menteri, jadi kami tunggu dan kumpul di Hotel Seri Pacific…Mana tahu kalau ada pihak sana nak beli kami secara pukal,” katanya.

Tuduhan ada ‘Langkah Seri Pacifik’ adalah fitnah besar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pejuang tak sokong Muhyiddin, PN – Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker