Tiada alasan buat Muhyiddin tangguh letak jawatan

Sebaran :

Tiada alasan buat Muhyiddin tangguh letak jawatan. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh terus menangguhkan hasrat meletak jawatan pada saat negara berdepan krisis pandemik Covid-19 yang boleh mengheret negara ke arah porak peranda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, hal ini disebabkan beliau kini dianggap sudah tidak lagi mempunyai masa tambahan susulan ‘wisel penamat sudah ditiup banyak kali’.

Jelas beliau, Muhyiddin juga pastinya tidak menjangka terdapat 11 ahli Parlimen UMNO bertindak mempersembahkan surat akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ia menjadi noktah yang mematikan langkah PM (Perdana Menteri), (Datuk Seri) Nazri Aziz dan (Datuk Seri) Shahidan. Ia hitam putih. Ia membatalkan sokongan mereka sebelumnya. Tidak timbul soal silat pulut lagi.

“Sebab itu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO (pada Selasa) berlangsung dalam suasana yang tenang, tidak tegang dan berakhir dengan konsensus. Zahidi (Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin) sendiri tidak membantah.

“Apabila Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri Kabinet, ia adalah isyarat jawatan tidak boleh membeli ahli UMNO yang mengutamakan perjuangan parti,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tanda tanya kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri susulan keputusan MKT UMNO memuktamadkan pendirian menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN pada Selasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT mengumumkan bahawa SD ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina dijangka letak jawatan hari ini

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Zahid sudah menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Sementara itu, Mohd Puad turut memberi dua sebab menyebabkan ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus kekal setia bersama kepimpinan parti.

Jelas beliau, pada saat ini, mereka hanya memiliki dua pilihan sama ada memihak kepada Yang di-Pertuan Agong atau memihak kepada Perdana Menteri yang dilihat menderhaka terhadap institusi diraja.

“Zahid mengemukakan enam alasan kukuh yang membuktikan Muhyiddin menyanggah dan ingkar titah Yang di-Pertuan Agong. Maka ahli-ahli Parlimen UMNO mesti buat pilihan.

“Ternyata Muhyiddin melakukan kesilapan besar apabila beliau mengheret UMNO berlawan dengan Raja. Ia bertentangan dengan Perlembagaan UMNO Fasal 3.3,” katanya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu lagi, sekiranya masih ada ahli Parlimen UMNO yang berdegil untuk menyokong Perdana Menteri, itu bermakna mereka mencari nahas.

“Tetapi itu hak mereka. Jumlah mereka semakin mengecil.

“Kita tidak tahu apa tujuan Shahidan, Nazri Aziz dan Zahidi berjumpa di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Pokoknya jumlah mereka makin mengecil jika merancang Seri Pacific Move (Langkah Seri Pacific),” katanya.

Mohd Puad juga menggesa Muhyiddin untuk tidak berlengah bagi mengelakkan berlakunya ‘gempa bumi’ susulan yang lebih dahsyat.

“(Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman, (Perdana Menteri ketiga (Tun Hussien Onn), (Perdana Menteri keenam) Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan (Perdana Menteri dua kali) Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Dua darinya babitkan Muhyiddin. Kini giliran kamu,” katanya lagi.

Tiada alasan buat Muhyiddin tangguh letak jawatan

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ismail Sabri dijangka buat pengumuman penting jam 4 petang

 


Sebaran :

Leave a Reply