Muhyiddin perlu buktikan majoriti di parlimen

Muhyiddin perlu buktikan majoriti di parlimen, paling lewat 16 Ogos – MP

Lim Kit Siang menggesa persidangan Dewan Rakyat diadakan selewat-lewatnya pada 16 Ogos depan.

Sidang parlimen tersebut, jelas veteran DAP itu bertujuan membatalkan enam Ordinan Darurat dan untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunjukkan dia mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Ini berikutan pengumuman oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa 11 ahli parlimen parti itu telah menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan surat akuan mereka telah diserahkan ke istana.

“Setelah banyak perintah kawalan pergerakan dan darurat enam bulan, kita mempunyai jumlah terkumpul 1,163,291 kes Covid-19 dan 9,598 kematian Covid-19.

“November lalu, kita berada di tangga ke-85 negara-negara dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 paling banyak dan hari ini kita berada di kedudukan ke-27.

“Dalam kes baru dan kematian Covid-19 baru setiap hari, Malaysia antara belasan negara teratas di dunia, dengan Malaysia di tangga nombor satu dunia dari segi kes harian per juta penduduk, di antara belasan negara ini,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, bawah kepemimpinan Muhyiddin, Malaysia telah menjadi antara salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia berdasarkan ukuran metrik apa pun.

“Pada 5 Januari 2021, saya meminta sidang khas parlimen untuk menangani wabak Covid-19 yang semakin buruk dan untuk mengelakkan Malaysia mencapai jumlah terkumpul 200,000 ke 250,000 kes Covid-19.

“Sebaliknya, darurat diisytiharkan dan parlimen digantung,” katanya.

Lim mengecam kerajaan PN kerana gagal untuk membahaskan Ordinan Darurat walaupun Yang di-Pertuan Agong berulang kali bertitah supaya parlimen membincangkan undang-undang itu.

Tangguh parlimen, alasan pandemik

“Setelah gesaan berulang kali oleh Yang di-Pertuan Agong dan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 supaya Proklamasi Darurat, Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan di Parlimen, maka sidang khas Dewan Rakyat selama lima hari dan Dewan Negara selama tiga hari dijadualkan, bermula pada 26 Julai.

“Tetapi tidak ada perbahasan mengenai Proklamasi Darurat atau Ordinan Darurat.

“Paling dikesalkan, sidang khas parlimen ditangguhkan pada 29 Julai atas alasan pandemik Covid-19,” katanya meminta agar Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah tidak boleh didorong untuk agenda politik apa pun.

“Dengan pengumuman Ahmad Zahid menarik sokongan Umno terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, parlimen perlu bersidang selewat-lewatnya pada 16 Ogos untuk membatalkan enam Ordinan Darurat dan untuk Muhyiddin menunjukkan bahawa dia mempunyai keyakinan majoriti anggota parlimen,” kata Lim.

Semalam, ekoran pengumuman Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Umno, Zahidi Zainul Abidin mendakwa “kerajaan PN tetap utuh” walaupun lebih 10 ahli parlimen dari partinya menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Padang Besar itu bercakap kepada wartawan di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur selepas pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama ahli parlimen Umno yang berpihak PN.

Pertemuan berkenaan berakhir kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ismail Sabri tiba di hotel itu sekitar jam 12.30 pagi berikutan pertemuan terdahulu dengan Muhyiddin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Mk

Muhyiddin perlu buktikan majoriti di parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Terpulang kalau nak tenggelam bersama Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker