Kita mungkin perlu dos ketiga lawan virus Delta
Kita mungkin perlu dos ketiga lawan virus Delta. SETAKAT artikel ini ditulis, enam rakan saya yang sudah disuntik dos pertama vaksin Covid-19 telah dijangkiti virus korona.
Dua daripadanya petugas media tempatan, seorang rakan media dari Thailand dan tiga orang lagi sahabat yang bekerja dari rumah.
Pun demikian, sebulan lalu seorang teman baik saya dari Indonesia berkongsi rasa duka apabila beliau mendapat jangkitan selepas dua minggu menerima dua dos lengkap.
Beliau ingin tahu di manakah silapnya? Antara rumusan awal kami adalah kemungkinan penyebaran Variant Of Concerns, Delta yang kini sedang mengganas di republik berkenaan yang menjadi punca.
Masalah yang meremukkan perasaan teman baik saya itu bukan satu kes pelik. Sebelum ini New York Times melaporkan di Amerika Syarikat (AS) menyaksikan lapan pemain besbol New York Yankees, hos televisyen popular, Bill Maher dan lima ahli Demokrat positif Covid-19 sekali lagi.
Pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pula, 110 kes dengan 19 kes melibatkan atlet telah direkodkan.
Berdasarkan statistik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), setakat 30 April lalu, lebih 10,000 jangkitan dilaporkan oleh mereka yang telah divaksinasi.
Di India, lebih dahsyat lagi. Lebih 21,000 rakyatnya dilaporkan positif Covid-19 setelah mengambil dos pertama Covishield dan Covaxin, sementara lebih 5,500 individu dijangkiti selepas memperoleh dos kedua, lapor DNA India.
Lantaran itu, terlalu banyak teori digembar-gemburkan. Antara yang paling sinikal dan banyak sekali dipersoalkan adalah sejauh mana keberkesanan vaksin pada sistem tubuh manusia?
Disebabkan pelbagai prognosis yang timbul, maka persoalan itu saya ajukan kepada Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.
Beliau menjelaskan, meskipun sudah divaksin, seseorang masih boleh dijangkiti.
Namun, jangkitan adalah bergejala ringan, boleh dirawat di rumah, tidak memerlukan oksigen dan tidak membawa maut.
Lazimnya golongan itu akan mengalami demam selesema biasa dan jumlah yang meninggal dunia juga amat rendah berbanding yang tidak menerima vaksin.
Mengambil contoh senario di United Kingdom, walaupun kes di sana meningkat tetapi kadar kematian adalah sifar kerana peratus yang sudah divaksinasi adalah tinggi dan telah mencapai imuniti kelompok.
Kenyataan Dr Nurul Yaqeen itu sejajar dengan pandangan Ketua CDC, Tom Clark yang diwawancara oleh Bloomberg baru-baru ini.
Kepada media yang sama, Pengarah Pusat Pendidikan Vaksin, Hospital Kanak-Kanak Philadelphia, Paul Offit pula berkata, semakin pendek tempoh inkubasi, virus dapat merebak sebelum tindak balas imun badan meningkat.
Pernyataan itu antara lain memberitahu setiap jenis vaksin mempunyai durasi masa tertentu sebelum ia betul-betul efektif kepada sistem antibodi bagi melawan virus Covid-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, AstraZeneca berkesan 14 hari selepas seseorang mendapat dua dos vaksin, Pfizer (tujuh hari selepas dos kedua), Sinovac (14 hari selepas dos kedua), Sputnik V (21 hari selepas dos pertama) dan Moderna (14 hari selepas dos kedua).
Bagaimana pula dengan keampuhan vaksin sedia ada untuk ‘melawan’ varian Delta yang boleh dijangkiti dalam tempoh 15 saat sahaja?
Dr Nurul Yaqeen berkata, kajian menunjukkan vaksin sedia ada masih boleh memberi perlindungan terhadap varian tersebut. Namun, penyelidikan masih dijalankan bagi melihat kemungkinan perlunya booster dos (suntikan ketiga) untuk menyokong vaksin sedia ada bagi melawan varian Delta.
Ujar pakar tersebut, itu adalah cara yang didapati berkesan untuk mengawal penyakit wabak, contohnya seperti influenza.
Sehingga hari ini, beritahunya, golongan berisiko dinasihatkan mengambil vaksin influenza setiap tahun kerana virus tersebut sering bermutasi.
Pendekatan sama juga barangkali berkesan untuk mengawal wabak Covid-19 yang kini sudah hampir meragut lebih empat juta nyawa manusia di seluruh dunia, kata pakar tersebut.
Justeru, kepada yang sudah lengkap mendapat vaksin, kita masih tetap perlu berhati-hati.
Dengan angka kes positif di Malaysia sudah mencecah sejuta kes, barangkali kerajaan mempertimbangkan untuk mempercepatkan langkah bagi suntikan ketiga?
Segeralah bertindak bagi mengelak situasi menjadi lebih meruncing.
* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Rencana SinarPlus, Sinar Harian.
Kita mungkin perlu dos ketiga lawan virus Delta
Baca Artikel Menarik :
- PN hilang kuasa bila batal ordinan darurat
- Doktor kontrak bukan masalah ketika pentadbiran saya, Najib
- Mencelah bukan cara saya, tunggu Rabu ini- Najib
- Netizen Dakwa PA Ebit Lew Seorang Pedofil?
- Resepi Mee Rebus Daging Sedap Betul
- Che Ta kutuk baju kontinjen Olimpik Malaysia