Dalam masa 6 jam, 20 amaran terhadap doktor kontrak

Sebaran :

Dalam masa 6 jam, 20 amaran terhadap doktor kontrak dari pengarah hospital

Hartal Doktor Kontrak, penganjur mogok pada hari ini, berkata lebih 20 amaran telah dikeluarkan dalam jangka masa enam jam terhadap doktor kontrak kerajaan yang merancang untuk mengambil bahagian dalam tindakan perusahaan itu.

Seorang wakil gerakan pekerja itu memaklumkan hal tersebut kepada Malaysiakini, dengan syarat enggan mendedahkan namanya untuk mengelakkan tindak balas kerajaan.

Katanya, dia merasa terkejut dengan kecekapan pengarah hospital bekerja pada hari Ahad untuk menggagalkan mogok yang menuntut jaminan yang lebih baik kepada doktor kontrak.

“Dalam masa enam jam, kami mendapat lebih 20 ancaman daripada hampir setiap pengarah hospital dan jabatan kesihatan negeri.

“Ketika kami meminta sokongan mereka terhadap penderitaan kami, mereka semua membisu.

“Tetapi tiba-tiba pada petang Ahad, mereka semua bergerak aktif dan bekerja (untuk menghentikan mogok),” katanya kepada Malaysiakini.

Petang tadi, Kementerian Kesihatan juga berkongsi garis panduan di laman Facebooknya yang menekankan penjawat awam tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam “perhimpunan haram”.

Kata KKM, ini termasuk meninggalkan tugasan pada waktu pejabat untuk melihat atau menyertai perhimpunan.

Tak dapat tawaran k’jaan jika terlibat hartal

Wakil Hartal Doktor Kontrak itu berkongsi dengan Malaysiakini, menunjukkan garis panduan sama diedarkan kepada doktor kontrak di Whatsapp untuk memberi amaran kepada mereka agar tidak menyertai mogok tersebut.

Dia juga berkongsi perbualan Whatsapp yang menunjukkan pengarah hospital memanggil doktor kontrak yang disyaki akan menyertai tindakan perusahaan itu.

Malaysiakini juga melihat pemberitahuan oleh pihak pengurusan Hospital Ampang yang memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang menyertai mogok tersebut.

Ia memberikan tiga alasan supaya doktor kontrak tidak ikut serta mogok tersebut, iaitu: (1) perhimpunan tidak diizinkan ketika penutupan, (2) penjawat awam tidak diizinkan untuk terlibat dalam perhimpunan haram dan (3) mereka akan ditinggalkan jika kerajaan memutuskan untuk membuat sebarang tawaran.

Hospital juga mengarahkan semua ketua jabatan untuk memantau setiap doktor kontrak yang memutuskan untuk mengambil bahagian dalam mogok tersebut dan mendokumentasikannya.

Ia juga meminta untuk memastikan supaya ada doktor ganti sepanjang ketiadaan doktor kontrak.

Solidariti doktor pakar

Dr Rafidah Abdullah, seorang pakar nefrologi di Hospital Putrajaya, memberikan sokongannya terhadap tindakan perusahaan itu walaupun dia bukan seorang doktor kontrak.

“Perkhidmatan tidak akan terjejas. Mereka tidak akan tinggalkan kerja-kerja klinikal tanpa pengganti. Mereka profesional; tapi mereka bukan robot. Punya hati dan perasaan.

“Saya sendiri akan buat kerja-kerja mereka. Bukankah lebih baik pakar perunding mengambil alih seketika,” katanya.

Rafidah juga mengambil maklum doktor kontrak berhadapan gangguan berhubung rancangan mogok esok itu.

“Di UK, mogok doktor-doktor disokong oleh pegawai atasan dan institusi. Tapi di Malaysia, ditindas dan diugut.

“Kepada orang-orang awam, jangan bimbang. Esok, jom kita sokong mereka. Yang ada urusan di hospital, kita pakai baju hitam ya,” katanya lagi.

Doktor kontrak merancang melakukan tindakan mogok secara ‘walk out’ dengan berhenti tugas dan keluar beramai-ramai pada jam 11 pagi esok.

Pun begitu, Hartal Doktor Konrak akan memastikan ada doktor ganti terhadap tugasan mereka manakala mereka dalam perkhidmatan penting akan kembali bertugas jika ada keperluan.

Doktor kontrak melobi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Doktor kontrak junior kerajaan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan setelah tamat lima tahun perhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.

Terdapat kekurangan jawatan tetap doktor di hospital awam kerana kekurangan peruntukan kewangan kerajaan.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada Jumaat (23 Julai) menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu “separuh masak” menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan mereka untuk jawatan tetap. Mk

Dalam masa 6 jam, 20 amaran terhadap doktor kontrak


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Joget di hotel dalam majlis Bersatu


Sebaran :

Leave a Reply