Tanda tanya strategi ‘endgame’ UMNO
Tanda tanya strategi ‘endgame’ UMNO. MINGGU lalu menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi terselamat daripada serangan hendap ‘musuh dalam selimut’ mereka, UMNO.
Setelah proklamasi darurat pada awal tahun ini dianggap sebagai faktor kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum tumbang, kali ini beliau ‘diselamatkan’ pula oleh sokongan majoriti ahli Parlimen UMNO sendiri.
Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid pada lewat malam Rabu mengumumkan parti itu menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta, sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen UMNO – diketahui tidak sebulu dengan Zahid – menegaskan sokongan terhadap Muhyiddin tidak berganjak.
Lebih menarik, usaha penarikan sokongan itu diputuskan selepas Muhyiddin melakukan pengumuman mengejut melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, pada hari yang sama.
Pelbagai andaian dikemukakan pemimpin politik berhubung keputusan pelantikan itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap keputusan itu sebagai usaha untuk ‘checkmate’ kepimpinan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad pula sebaliknya melihat pelantikan Ismail Sabri sebagai strategi politik UMNO untuk diangkat menjadi Perdana Menteri interim, apabila sampai waktunya.
Di sebalik polemik rampasan kuasa oleh UMNO, penulis lebih tertarik untuk meneliti luahan keresahan beberapa ahli MKT parti terhadap strategi politik dimainkan pucuk kepimpinan parti itu iaitu – apa ‘endgame’ atau strategi muktamad cuba dicapai UMNO?
Perkara itu disuarakan sendiri dua ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana Ahmad Zahid difahamkan tidak menjawab persoalan itu sewaktu mesyuarat MKT berlangsung.
Bahkan, seorang lagi ahli MKT yang lantang mengkritik Ahmad Zahid, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut menyuarakan kebimbangan langkah politik terkini parti memberi ruang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
Justeru, apakah kemungkinan ‘endgame’ yang cuba dicatur oleh Zahid dan UMNO setelah parti itu turut memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Anwar serta Pakatan Harapan (PH)?
Secara tersurat, kenyataan media Zahid selepas mesyuarat MKT jelas menuntut Muhyiddin meletak jawatan bagi membolehkan seorang Perdana Menteri interim dilantik, khas untuk menangani krisis Covid-19 sehingga negara mencapai tahap imuniti berkelompok.
Seorang pemimpin muda UMNO dari Johor mendedahkan pucuk kepimpinan UMNO sebenarnya lebih melihat Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon paling layak untuk jawatan itu berbanding Ismail Sabri.
“Hal ini susulan pengalaman lebih enam dekad Ku Li dalam pentadbiran kerajaan serta dunia politik di samping beliau dianggap pemimpin UMNO yang paling tiada kepentingan politik berbanding yang lain,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Ulang skrip di Perak
Namun secara tersirat, gerakan politik Zahid ketika ini lebih terarah kepada usaha mengulangi coup d’etet kerajaan Perak pada Disember tahun lalu, yang menyaksikan hanya ketua negeri sahaja ditukar tetapi komposisi parti membentuk kerajaan tidak berubah.
Bagi tokoh veteran UMNO, Dr Muhammad Khir Toyo, strategi mengulangi rampasan kuasa di Perak sukar dilaksanakan parti itu di peringkat nasional kerana ahli-ahli Parlimen UMNO berdepan masalah defisit kepercayaan terhadap Presiden mereka sendiri.
“Ditambah dengan jumlah bilangan kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak banyak beza dengan UMNO, rancangan itu sukar direalisasikan UMNO kecuali kesemua 41 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan secara en bloc,” katanya.
Satu lagi teori kemungkinan ‘endgame’ menarik yang boleh dicapai UMNO pada ketika ini adalah parti itu masih berpeluang meneroka ruang kerjasama politik dengan PH-DAP, tetapi atas syarat bukan Anwar menjadi Perdana Menteri.
Teori ini dijelaskan oleh Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi yang berpandangan sekiranya PH bersetuju menerima syarat itu, calon Perdana Menteri selain Anwar hendaklah dinamakan dan dipersetujui secara bersama.
“Mungkin UMNO dan PH boleh bersetuju untuk melantik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai contoh, kerana jumlah kerusi PH lebih banyak berbanding UMNO.
“Selain itu, teori itu mampu direalisasikan hanya sekiranya UMNO dan PKR yang boleh mengetuai kerajaan, sementara DAP sekadar menjadi rakan komponen pasif,” katanya.
Muhammad Khir pula berpandangan Muhyiddin akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada persidangan Parlimen akan datang jika sekadar enam ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong beliau ketika itu.
Hal ini kerana beliau berpandangan, kerajaan PN berkemungkinan mendapat sokongan tidak dijangka daripada Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) ditunjangi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan). “Bagi mengukuhkan peluang UMNO untuk menjatuhkan Muhyiddin, Zahid memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen untuk menolak Presiden Bersatu.
“Jika sekadar lima atau enam ahli Parlimen UMNO sahaja tidak menyokong Muhyiddin, beliau masih mampu bertahan.
“Lebih-lebih lagi kerajaan PN meluluskan pendaftaran parti Pejuang pada saat mereka berdepan ancaman penentangan UMNO. Itu satu isyarat jelas,” jelasnya.
Dakwaan Mohamad Khir itu bagaimanapun dinafikan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.
Marzuki sebaliknya menegaskan kelulusan pendaftaran parti itu oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Jumaat lalu, bukan umpan kerajaan untuk meraih sokongan mereka pada sidang Parlimen kelak.
Tambah beliau, empat ahli Parlimen parti itu akan terus memperjuangkan agenda penubuhan sebuah entiti bebas politik iaitu Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang menyerupai Majlis Gerakan Negara (Mageran), untuk mengambil alih pentadbiran negara ketika ini.
“Ketika ini, sebarang usaha pembentukan kerajaan baharu melibatkan UMNO juga tidak menjamin kestabilan kerana kita tidak faham apa sebenarnya UMNO mahukan. Kalau mereka kata kerajaan PN gagal, maknanya mereka pun gagal kerana terlibat di dalamnya.
“Kami tetap berpendirian Dr Mahathir adalah individu paling berpengalaman untuk mengetuai MPN dan merayu Yang di-Pertuan Agong agar memberi ruang MPN menjadi reset kepada pentadbiran politik baharu yang lebih telus serta efisien,” katanya.
Tanda tanya strategi ‘endgame’ UMNO
Baca Artikel Menarik :
- Muhyiddin perlu contohi Pak Lah berundur secara terhormat – Ibrahim Ali
- Kita mahu PM yang menyakinkan, bukan beli katak
- Kuli Mahu UMNO berpisah dengan Bersatu
- Jangan terkinja-kinja dalam TikTok tetapi poket kosong – DSV
- Wanita pecah cermin van dakwa kereta dihimpit [VIDEO]
- Resepi Almond Nutella Cookies Rangup
Menteri Bersatu kata gerakan angkat Ismail Sabri jadi PM ‘positif’