Arwah Benjy khatam al-Quran dalam penjara
Arwah Benjy khatam al-Quran dalam penjara
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar sedih tidak dapat menghulur lebih bantuan kepada Allahyarham Benjy bagi mengubati penyakit asma kronik yang dihidapi.
Ellie berkata, dia amat bersedih atas pemergian teman baiknya itu, namun reda Allah lebih menyayanginya.
“Arwah Benjy beritahu saya keadaannya batuk hingga keluar darah. Jadi, saya mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan, cuma saya tidak dapat membantu sejak kebelakangan ini.
“Ini kerana saya tidak mempunyai banyak ‘job’ sejak pandemik COVID-19 menular, tahun lalu.
“Saya sedih, apatah lagi, memikirkannya arwah akan disemadi di Medan, Indonesia sekiranya meninggal dunia. Mendengar berita pemergiannya membuatkan hati saya remuk.
“Arwah menghubungi saya, minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya kepada BH Online.
Allahyarham Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, jam 11 pagi tadi.
Aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu kini sedang menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta atas kesalahan memiliki dadah sejak 2017.
Ellie berkata, dia sudah berjanji dengan arwah. Jika dibebaskan, dia akan menjemputnya di Medan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.
“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” katanya.
Hati Ellie Suriaty remuk mendapat berita pemergian Allahyarham Benjy berikutan tidak mampu membantu menghulurkan lebih sumbangan membiayai perubatannya.
Pelakon filem Soalnya Siapa dan Penanggal itu berkata, arwah juga menganggapnya seperti pengganti arwah ibunya.
“Ketika ramai rakan menjauhkan diri, saya tetap bersamanya. Arwah jenis setia dalam perhubungan dan persahabatan. Saya tidak mahu menilai kesilapan silamnya, tetapi saya tahu, arwah sangat bijak dan berbakat,” katanya.
Kongsi Ellie, arwah selalu menghubunginya, berkongsi luahan dan menyatakan kerinduan kepada keluarga.
“Arwah menghubungi saya jika mahu meminta bantuan membiayai perubatan di hospital, memandangkan kos sangat tinggi jika membabitkan banduan dari luar negara.
“Jujurnya, penyakit asma arwah memang teruk. Sebelum ini, arwah mahu membeli ‘inhaler’ untuk penyakitnya, jadi saya membantunya.
“Saya menasihatinya menjaga diri agar tidak terkena jangkitan COVID-19. Selain itu, kami merancang membuat kelas lakonan apabila arwah bebas nanti. Saya mahu mengembalikan keyakinannya meneruskan kehidupan dan lakonan,” katanya.
Katanya, dia juga sentiasa memberikan kata semangat untuk terus bersabar memandangkan arwah masih ada tempoh tujuh tahun lagi.
“Memang bunyinya agak lama, tetapi saya selalu katakan, ini adalah masanya untuk buat amal ibadah.
“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” katanya.
Ellie mengharapkan, orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan arwah Benjy dan segala urusan pengebumian di Medan berjalan dengan lancar.
Kali terakhir Ellie dan arwah Benjy bekerjasama menerusi telefilem Noda Setitik Arak siaran Astro Ria pada 2015.
BH
Arwah Benjy khatam al-Quran dalam penjara
Baca Artikel Menarik :
- Perlu ambil masa untuk lihat kesan laksana PKPD di Selangor
- Dikecam, Annuar padam posting ziarah Pak Lah
- Ekonomi semakin tenat, menteri kanan makin bertambah
- Kebun haram Musang King, siasatan SPRM sudah lengkap 80 peratus
- Cik B dan Dr. Vida dua orang yang berlainan
- Resepi Istimewa Gulai talang masin bersama terung tumis darat
Layari Laman Facebook MYKMU