Batal pendaftaran doktor kontrak, tak masuk akal

Batal pendaftaran doktor kontrak, tak masuk akal, kata MMC

Beberapa doktor menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman membatalkan pendaftaran pegawai perubatan kontrak yang menyertai mogok #HartalDoktorKontrak pada 26 Julai ini.

Mereka berkata, langkah itu akan membahayakan kesihatan awam semasa krisis.

Selasa lalu, Persatuan Perubatan Malaysia dan Schomos (Bahagian MMA berkaitan pelatih, pegawai dan pakar perubatan) berkata, mereka dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba bahawa Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mungkin membatalkan pendaftaran pengamal perubatan yang menyertai mogok kerana tindakan mereka tidak sah.

Dr V, seorang doktor kontrak di Seremban yang bercadang menyertai mogok itu berkata, pembatalan pendaftaran tidak adil kerana tuntutan mereka munasabah.

“Kami percaya kami patut dilayan dengan adil dan tidak patut ada perbezaan antara doktor tetap dengan kontrak.

“Kami mogok atas sebab asas seperti cuti, gaji dan kemajuan kerjaya yang sama untuk menjadi pakar.

“Juga jika anda membuang semua orang yang mogok, siapa akan menjadi doktor kontrak anda? Nampaknya majoriti doktor kontrak menyokong gerakan itu. Jika anda membuang mereka semua, saya tidak rasa sistem kesihatan dapat bertahan seperti keadaan sekarang.”

Seorang pakar kerajaan berkata, tidak adil mengugut untuk membatalkan pendaftaran doktor yang mahu menyertai mogok.

“Saya mungkin tidak bersetuju dengan mogok itu sendiri tetapi gerakan itu tentunya sangat membantu doktor kontrak kerana ia membuatkan orang bertanggungjawab mula memberi perhatian, yang merupakan tujuan mana-mana mogok.”

Katanya, ancaman itu menunjukkan Akta Perubatan 1971 perlu dipinda supaya masalah keahlian, pendaftaran dan pembatalan pendaftaran tidak akan terlalu dipengaruhi kerajaan melalui peranan ketua pengarah sebagai presiden MPM.

Merujuk gerakan “Code Black” yang dimulakan oleh MMA, doktor itu berkata: “Setahunya, berpakaian hitam (pada 12 Julai sebagai tanda solidariti) adalah okey. Saya diberitahu ini dibangkitkan kepada menteri dan walaupun beliau tidak menyokong, beliau juga tidak membantahnya.”

Seorang wakil MMA Schomos mengulangi pendirian kumpulan itu terhadap mogok berkenaan kerana ia akan memberikan tekanan tidak terhingga kepada sistem kesihatan yang sudah terbeban dengan doktor yang masih bekerja perlu menanggung beban itu.

Walaupun beliau enggan mengulas undang-undang pembatalan pendaftaran secara khusus, namun katanya, pihak berkuasa perlu membenarkan doktor kontrak menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara itu dan tidak menafikan kebebasan bersuara mereka. FMT

Batal pendaftaran doktor kontrak, tak masuk akal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

 

 


MP UMNO sokong Muhyiddin tanggung akibatnya nanti

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker