Parlimen bahas masalah rakyat, bukan pentas dengar kuliah menteri

Parlimen bahas masalah rakyat, bukan pentas dengar kuliah menteri. Tujuan persidangan Parlimen diadakan pada 26 Julai ini adalah untuk mendengar dan memulihkan masalah rakyat, bukannya sebagai pentas untuk mendengar “kuliah menteri,” kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Melalui kenyataan bersama, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulas tempoh sidang parlimen yang dipendekkan menjadi lima hari.

Mereka menyifatkan sekiranya tiada perbahasan di Dewan Rakyat, maka tempoh yang singkat tersebut “seperti melepaskan batok di tangga.”

“Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara.

“Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua ahli parlimen, dan parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah menteri tanpa diberi ruang membahas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa ahli parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu yang sama berikutan tempoh persidangan yang dipendekkan selama lima hari itu.

Menurut kenyataan bersama tiga pemimpin PH itu, tindakan kerajaan Perikatan Nasional amat dikesali kerana ia seolah-olah menunjukkan PN hanya berniat memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara Covid-19 tanpa sebarang perbahasan, dan proklamasi serta Ordinan-ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas ataupun diputuskan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menjemput pihak pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas parlimen ini, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi ini.

“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang parlimen khas yang adil.

“Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” katanya.

Dua hari lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan parlimen akan bersidang pada 26 Julai setelah Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar kerajaan PN memanggil sidang Dewan Rakyat secepat mungkin.

Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan perisytiharan darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos.

Parlimen bahas masalah rakyat, bukan pentas dengar kuliah menteri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Moratorium : Asyraf lobi Menteri UMNO bawa suara rakyat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker