Perihal Kerajaan Allah dan mengakui kegagalan sendiri
Perihal Kerajaan Allah dan mengakui kegagalan sendiri
Oleh Mohsin Abdullah
Selang beberapa minggu sahaja, Abdul Hadi Awang sekali lagi menyerang Pakatan Harapan. Membuat saya bertanya lagi – apa yang presiden PAS itu tahu yang saya tidak tahu?
Tentulah macam-macam “info” dan “intel” yang beliau ada selaku ahli politik berpengalaman luas yang duduk dalam kerajaan Perikatan Nasional, berbanding saya si penulis biasa. Tindakan beliau itu bukanlah memeranjatkan. Menyerang pihak lawan sememangnya “tugas” atau “peranan” beliau. Hadi mesti mempertahankan kerajaan yang dianggotai beliau dan partinya.
Cuma serangannya menggambarkan seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku. Atau setidak-tidaknya membayangkan ancaman Pakatan Harapan ke atas Perikatan Nasional semakin hebat. Jika tidak masakan perlu diserang bertubi-tubi? Ini bukan musim pilihan raya. Atau ada yang yang tersirat dan tersurat?
Mulanya saya tidak bercadang menulis mahupun mengulas serangan terbaru Hadi terhadap PH yang dikeluarkan semalam, Isnin 5 Julai. Oleh itu, tidak perlulah saya memperincikan apa yang diluahkan Hadi semalam.
Saya setuju dengan beberapa penganalis politik yang saya hubungi bahawa itu ialah “kenyataan politik yang membawa mesej jangan salahkan kerajaan bersabit Covid-19 dan kerajaan PN lebih baik daripada kerajaan PH dulu”.
Namun yang membuatkan saya melakukan “U-turn” dan menulis artikel ini kerana Hadi menegaskan “hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan virus (Covid-19 ) ini”.
Sebagai orang Islam, wajib saya akui kebenaran kata-kata Hadi mengenai “kerajaan Allah”. Seperti yang dikatakan Mohd Azlan Zainal, Pengarah Operasi Ilham Centre, “kerajaan Allah” bermaksud kekuasaan Allah iaitu hanya Allah yang boleh menghapuskan Covid-19.
“Dari Allah ia datang dan kepada Allah ia kembali. Secara asas, sebagai tanda iman, sebagai seorang Muslim kita bersetuju,” kata Azlan.
Pun begitu menurut Azlan, ia tidak ternafi persoalan ikhtiar dan usaha. Ikhtiar adalah keupayaan memilih pelbagai strategi yang ampuh demi mencapai penyelesaian, manakala usaha pula ialah menyempurnakan segala strategi dan ikhtiar bagi mencapai tujuan tersebut.
Saya dan saya yakin ramai yang setuju dengan Azlan kita tidak boleh menyerahkan keseluruhannya pada urusan takdir sedangkan kita masih punya pilihan.
Bagi Azlan: “kenyataan Tuan Guru Haji Hadi lebih kepada menafikan kelemahan ini. Kerajaan sedia ada perlu jujur bahawa ia benar gagal dalam mengurus pandemik ini.”
Dalam tempoh setahun kes semakin meningkat dan angka kematian melonjak. Saya akui kerajaan telah dan masih menjalankan usaha namun langkah yang diambil tidak mencapai matlamat. Perintah Kawalan Pergerakan serta SOP dikatakan mengelirukan dan berubah-ubah. Peraturan kelihatan seolah “dua darjat” – satu untuk golongan atasan atau apa yang dipanggil “Kayangan” dan satu untuk rakyat marhaen – memburukkan keadaan.
Pelan pemulihan tidak menyakinkan dan banyak lagi contoh yang kita semua maklum lantas tidak perlu saya huraikan.
“Paling dukacita kerajaan mengulangi strategi yang sama tetapi berharap keputusan berbeza. Ini kesilapan besar,” kata Azlan.
Seperti kita tahu, fasa demi fasa sudah dilalui namun kita masih di sini. Bingung, kata Azlan, sambil menegaskan “para ahli politik larut dengan misi mempertahan kuasa, darurat yang diumum merupakan jalan singkat tetapi sebenar kesan melarat.”
Kata ulama, Allah tidak akan membantu sesuatu kaum sehingga kaum mengubah nasibnya. Rakyat walau apapun agama tahu akan ini. Lantas rakyat berusaha sendiri mengharungi cabaran. Inisiatif #BenderaPutih umpamanya. Satu gerakan rakyat Malaysia memohon rakyat Malaysia membantu rakyat Malaysia. Tanpa mengira bangsa dan agama.
Malangnya ada juga pihak dalam kerajaan termasuk dalam kalangan pemimpin parti Hadi yang memperkecilkan usaha murni itu. “Memperkecilkan” ialah satu perkataan yang lembut untuk merumuskan apa yang mereka kata terhadap inisiatif Bendera Putih.
Apa pun Bendera Putih terus dikibarkan menandakan ramai yang dihimpit kesengsaraan. Ia terus menarik perhatian rakyat yang peduli yang tampil membantu. Hakikatnya rakyat memerlukan bantuan.
Azlan mengingatkan kita apa yang kita tahu. Rakyat makin penat, tenat, dan sengsara. Ada yang bunuh diri malah kes ini meningkat. Ramai hilang kerja, hilang sumber pendapatan, terputus bekalan, dan pelbagai kesusahan dan kesulitan.
Kata Azlan: “Benar ia ujian tetapi kita tetap punya pilihan untuk berusaha keluar dari musibah ini kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan berharap.”
Umat manusia semuanya percaya akan itu. Orang Islam mahu pun orang bukan Islam.
Perihal Kerajaan Allah dan mengakui kegagalan sendiri
Baca Artikel Menarik :
- Mesyuarat tertutup Zahid, Ismail Sabri selesai
- Ada apa pertemuan rahsia ahli parlimen UMNO bersama Presiden?
- Nama Mira Filzah Turut Dikecam Hanya Gara-Gara Ibu Mertua [VIDEO]
- Sweet Qismina minta doa cepat dihalalkan
- Pizza Musang King Dapur Kayu Mystreet Kitchen
- Resepi Ayam Goreng Madu Mamak
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.