Keabsahan Darurat: Peguam Muslim saran Agong rujuk Mahkamah Persekutuan

Keabsahan Darurat: Peguam Muslim saran Agong rujuk Mahkamah Persekutuan. Persatuan Peguam Muslim Malaysia menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi merungkai “kekeliruan” berhubung keabsahan proklamasi darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden persatuan itu Zainul Rijal Abu Bakar berkata langkah itu boleh dilakukan mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya ketika ini orang ramai berasa keliru kerana wujudnya percanggahan pandangan berhubung keabsahan darurat dan masyarakat memerlukan kedudukan yang tuntas tanpa dipengaruhi pemikiran berdasarkan politik kepartian.

Menurut Zainul Rijal peruntukan tersebut menyatakan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat berkenaan sesuatu isu berbangkit dari perlembagaan.

“Dengan rujukan tersebut, Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapat yang dirujuk tersebut dalam mahkamah terbuka dan ia akan menjadi sesuatu yang mengikat semua pihak.

“Dengan cara itu semua perbezaan pandangan dapat dilupuskan dan jawapan tuntas diperolehi daripada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainul Rijal lagi walaupun tindakan seumpama itu belum pernah dilaporkan berlaku namun ia tidak menghalang Agong untuk melakukannya kerana Perkara 130 tersebut masih berkuatkuasa.

Semalam, bekas peguam negara Tommy Thomas berkata Agong boleh menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai kebuntuan politik pada masa ini yang menyaksikan keabsahan kerajaan PN diragui.

Bercanggah atau tidak

Katanya, memandangkan kerajaan telah setuju untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos, Agong boleh menitahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Jelas Thomas, langkah seterusnya bagi Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah menerima usul tersebut untuk dibahaskan serta tempoh satu hari perlu diperuntukkan untuk membahaskan usul tersebut sebelum – dan ia harus disiarkan secara langsung – dan disusuli dengan undian.

Untuk rekod Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pendapat mengenai apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan perlembagaan yang berbangkit, atau yang tampak mungkin berbangkit.

Sesusah itu Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Zainul Rijal berkata ketika ini antara persoalan perlembagaan yang dibangkitkan ialah:

a) Adakah nasihat perdana menteri untuk mendapatkan proklamasi darurat sah disebabkan ketika itu dia didakwa tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat;

b) Adakah proklamasi darurat perlu mendapat persetujuan Parlimen;

c) Adakah Agong terkhilaf menerima nasihat perdana menteri mengisytiharkan darurat tanpa persetujuan Parlimen;

d) Adakah Agong wajib mendapatkan nasihat perdana menteri menurut Perkara 40 untuk menamatkan darurat;

e) Adakah jemaah menteri mempunyai kuasa eksekutif dalam tempoh darurat dan parlimen boleh bersidang dalam tempoh tersebut; dan

f) Adakah ordinan darurat boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Katanya banyak persoalan lain yang timbul dalam keadaan sekarang dan pelbagai pihak – termasuk pakar perundangan, ahli akademik, peguam, mantan hakim malah peguam negara sendiri – sudah memberikan pendapat masing-masing.

“Hal ini mendatangkan lebih banyak kekeliruan dalam kalangan orang awam kerana pelbagai pandangan yang berbeza dikeluarkan,” katanya.

Keabsahan Darurat: Peguam Muslim saran Agong rujuk Mahkamah Persekutuan

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pesawat Kargo Alami Masalah Enjin Buat Pendaratan Cemas Di Perairan Hawaii

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker