Kenapa anda pandai tapi tidak bijak?

Kenapa anda pandai tapi tidak bijak? Selalu kita kata kepada seseorang yang cemerlang akademik ‘pandainya awak’ dan kata kepada seseorang yang buat tindakan dan keputusan yang tepat dalam hidup ‘awak memang bijak’. Kita juga akan kata kepada pelajar cemerlang akademik tetapi buat keputusan salah dalam hidup ‘pandai tapi tak bijak awak ni’.

2. Kepandaian berkait dengan penguasaan akademik. Aspek yang akan diukur adalah aspek kognitif iaitu kegiatan mental. Kebijaksanaan yang disebut sebagai ‘wisdom’ atau ‘hikmah’ pula adalah keseimbangan antara kawalan emosi dan akal yang membimbing tindak tanduk ke arah yang betul. Ia berkait aspek kognitif, afektif (perasaan, emosi, sikap, nilai dan sebagainya) dan psikomoto (tindakan dan tingkah laku) sekali gus.

Dengan itu kebijaksanaan adalah kemuncak kesempurnaan proses pembelajaran manusia.

3. Semasa belajar di Mesir dulu, seorang ulamak bertanya kepada kami di dalam kelas ‘siapakah yang lebih afdhal; Nabi Ismail atau Nabi Ishak?’ Yahudi suka melebihkan Nabi Ishak as kerana mereka adalah dari keturunan Yaakob bin Ishak as. Kita sebagai orang Islam meletakkan kedua-duanya sebagai nabi Allah yang mulia. Ulamak ini kemudiannya menyimpulkan bahawa Allah menggelar Nabi Ismail as sebagai:

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ
“lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.” (Soffat: 101)

Manakala Nabi Ishak as Allah gelarkan sebagai:

إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلامٍ عَلِيمٍ
“kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu” (al-Hijr: 53)

Ulamak ini kata yang lebih afdhal berdasarkan petunjuk al-Quran adalah Nabi Ismail as kerana sifat penyabar lebih sukar dicapai dari menjadi seorang berilmu.

4. Orang yang bijak dia juga adalah orang yang berilmu. Oleh kerana dia bijak, maka tumpuannya dalam menggali ilmu terbatas pada ilmu yang bermanfaat. Orang berilmu tidak semestinya bijaksana. Bahkan oleh kerana dia tidak bijak, dia mendalami ilmu dan masuk ke cabang-cabang ilmu yang tidak bermanfaat kemudian dia tertipu lalu berbangga kerana dia rasa dia pandai.

Mungkin inilah fenomena yang digambarkan dalam kata-kata yang disandarkan kepada Hasan al-Basri:

من ازداد علماً ولم يزدد هدى لم يزد من الله إلا بعداً
“Sesiapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah petunjuk di dalam hidupnya, tidak bertambah ia dari Allah kecuali makin menjauh.”

5. Seseorang boleh jadi pandai bila dia tekun belajar. Dia akan cemerlang dalam peperiksaan bila dia rajin menghafal, rajin buat nota, rajin hadir kelas, rajin bertanya untuk faham. Atau apa-apa aktiviti mental yang lain seperti berdebat dan sebagainya.

Tetapi kebijaksanaan datang dengan cara lain. Jika anda ingin jadi bijak, maka anda perlu lakukan aktiviti yang akan menjadikan anda bijaksana.

Saya cadangkan anda bertanya persoalan asas berikut kepada diri anda untuk mengukur kebijaksanaan anda:

a. Sedalam mana kajian anda terhadap ayat-ayat al-Quran dan sejauh mana kesediaan anda untuk menuruti tuntutan al-Quran? Allah berfirman mengaitkan kebijaksaan dengan orang yang berfikir meneliti perintah dan larangannya:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya (untuk memahami perintah dan larangan Allah).” (Al-Baqarah: 269)

b. Sejauh mana anda bergaul dan rapat dengan orang-orang alim yang soleh? Pergaulan dengan mereka akan mengurniakan anda kebijaksanaan. Lukman al-Hakim dikatakan berwasiat kepada anaknya: “Wahai anakku, bergaullah dengan ulamak dan rapatkan dua lututmu ke lutut mereka. Sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan cahaya kebijaksanaan seperti Allah membasahkan bumi dengan titisan hujan.”

c. Sejauh manakah anda menjaga batas halal dan haram serta mengekang nafsu anda dengan syariat? Ibnu al-Qayyim berkata:

لكلِّ باب مفتاح، ومفتاح الحِكْمَة: طرد الهوى.

“Setiap sesuatu itu ada kuncinya. Kunci bagi kebijaksanaan adalah mencampak hawa nafsu.”

d. Sejauh manakah anda belajar dan mengambil teladan dari pengalaman hidup? Satu kesilapan yang berlaku sepatutnya sudah cukup untuk menjadikan anda bijaksana lalu tidak akan mengulanginya. Nabi ﷺ bersabda:

لا يُلدغ المؤمن من جحر مرَّتين

“Seorang mukmin tidak akan disengat dua kali dari satu lubang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

e. Adakah anda seseorang yang banyak bercakap tanpa fikir panjang atau seorang yang banyak berfikir sambil diam? Kebijaksanaan datang dengan berfikir. Tiada orang boleh berfikir dengan baik kalau asyik bercakap. Umar Abd Aziz berkata:

إذا رأيتم الرَّجل يطيل الصَّمت، ويهرب من النَّاس، فاقتربوا منه فإنه يُلقَّى الحِكْمَة

“Jika kamu melihat seorang lelaki panjang diamnya dan selalu menjauhi perkumpulan manusia, maka hampirilah dia. Sesungguhnya dia adalah tempat dihimpunkan kebijaksanaan.”

6. Jadilah bijak dan bukan sekadar pandai. Ukurlah diri anda dengan ukuran yang diberikan oleh ulamak. Anda bijak jika sifat ini ada pada anda:

لا أتكلَّف ما كُفِيت، ولا أضيِّع ما كُلِّفت

“Aku tidak membebankan diriku dengan perkara yang bukan kewajipanku. Dan aku tidak akan mengabaikan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasku.”

Ketahuilah batas apa yang menjadi kewajipan. Jangan sibukkan diri dengan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan kita. Jangan cari dan tambah masalah baru kerana masalah sedia ada pun sudah banyak yang perlu diurus dengan baik.

Allahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 
Presiden ​ISMA

Kenapa anda pandai tapi tidak bijak?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tak perlu ugut doktor kontrak

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker